DUNIA

Indonesia Perhebat Kesiapsiagaan Bencana Susulan Ancaman Letusan 3 Gunung Berapi

13/01/2025 04:42 PM

JAKARTA, 13 Jan (Bernama) -- Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia telah mempergiatkan usaha kesiapsiagaan kecemasan, memfokuskan kepada aktiviti gunung berapi di Gunung Ibu, Gunung Lewotobi Laki-Laki dan Gunung Merapi ketika letusan terus menimbulkan risiko kepada masyarakat setempat.

Jurucakap BNPB Abdul Muhari melaporkan bahawa Gunung Ibu di mukim Ibu, Halmahera Barat, Maluku Utara meletus lagi pada Sabtu, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan kesedaran penduduk dan pihak berkuasa tempatan yang semakin meningkat.

“Penduduk dan pelawat dinasihatkan untuk mematuhi saranan daripada Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) serta pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Gunung Lewotobi Laki-Laki setinggi 1,584 meter di Flores Timur, Nusa Tenggara Timur, terus meletus dengan enam letusan direkodkan antara 1 hingga 7 Januari, katanya.

“Api kelihatan berhampiran puncak, menunjukkan lava yang sedang naik ke permukaan yang merah menyala pada waktu malam. Mendapan lava serta bahan yang berpotensi membentuk aliran lumpur gunung berapi ditemukan di kawasan barat laut dan timur laut kawah,” kata Abdul Muhari.

Beliau berkata orang ramai dan pelawat dinasihatkan agar tidak melakukan sebarang aktiviti dalam radius lima kilometer dari pusat letusan serta sektor barat daya-timur laut sehingga enam kilometer.

Gunung Merapi yang terletak di empat kawasan pentadbiran termasuk daerah Klaten, Magelang dan Boyolali di Jawa Tengah, serta Sleman di Yogyakarta, kekal pada Tahap III sejak November 2020 kerana aktiviti gunung berapi yang tinggi.

“Selain aliran lava panas, potensi bahaya semasa termasuk awan panas dan aliran lumpur gunung berapi di sektor barat daya-selatan, meliputi sungai Boyong sehingga lima kilometer, serta sungai Bedog, Krasak dan Bebeng sehingga tujuh kilometer.

“Bahan gunung berapi yang dimuntahkan keluar semasa letusan boleh mencapai radius tiga kilometer dari puncak,” kata Abdul Muhari.

Orang ramai digesa agar tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan berpotensi bahaya serta berhati-hati terhadap aliran lumpur gunung berapi dan aliran awan panas, terutamanya semasa hujan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy