JENAYAH & MAHKAMAH

1MDB: US$700 Juta Boleh Dituntut Daripada Jho Low Jika Tindakan Undang-undang Diambil - Arul Kanda

13/01/2025 08:32 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Arul Kanda Kandasamy, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa wang US$700 juta yang dipindahkan kepada Good Star Limited boleh diperoleh semula sekiranya beliau mengarahkan tindakan undang-undang untuk mendapatkannya.

Defendan pertama itu disoal oleh peguam 1MDB Datuk Lim Chee Wee dalam saman 1MDB bernilai US$6.59 bilion terhadapnya dan bekas pengerusi lembaga pengarah Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Lim: Adakah kamu tahu bahawa Low Taek Jho atau Jho Low adalah pemilik Good Star?

Arul Kanda: Ya, kami dapat maklumat itu melalui Jabatan Ketua Audit Negara, pastinya semasa pendengaran Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara. Tapi saya tidak ingat tarikh sebenar.

Untuk rekod, transaksi US$700 juta itu berlaku pada 2009, enam tahun sebelum Arul Kanda dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

Ketika Lim bertanya sama ada Arul Kanda sebagai presiden dan pengarah pada masa itu menyedari pemindahan dana kepada Good Star, defendan menjawab bahawa beliau menyedarinya pada 2016 tetapi tidak sebelumnya.

Lim: Adakah kamu, dalam pengetahuan kamu, telah mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan semula US$700 juta itu?

Arul Kanda: Ia agak spekulatif, tetapi ya, saya bersetuju, jika saya melakukan itu pada masa itu, ya, mungkin kita akan dapat semula dana ini.

Dalam kenyataan saksinya, defendan pertama berkata beliau tidak mengetahui sebarang penipuan atau salah laku semasa menyertai syarikat itu pada 5 Jan 2015.

“Terdapat ramai individu bekas pengurusan kanan yang mengendalikan dan bertanggungjawab secara langsung terhadap pelbagai operasi, pentadbiran, kewangan, laporan, undang-undang dan aktiviti lain syarikat ini.

“Mereka telah melaksanakan tugas dan menjalankan pelbagai transaksi dengan baik sebelum saya menyertai syarikat ini dan terus melakukannya selepas saya menyertainya. Sekali lagi, pada masa itu, saya tidak mempunyai sebab untuk mengesyaki mereka melakukan sebarang kesalahan.

“Oleh itu, saya wajar bertanya kepada mereka untuk mendapatkan maklumat dan bergantung kepada maklumat yang mereka kongsikan dengan saya dan penjelasan mereka berikan kepada saya mengenai pelbagai perkara di bawah skop tanggungjawab mereka,” kata Arul Kanda.

Pada Mei 2021, 1MDB memfailkan saman terhadap kedua-dua defendan atas dakwaan mereka melakukan pecah amanah dan konspirasi sehingga menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian berjumlah US$1.83 bilion berhubung pelaburannya dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd, yang kemudian ditukar kepada Brazen Sky Limited investment, dan dikatakan boleh didapati dalam Dana Bridge Global.

1MDB juga mendakwa Arul Kanda dan Mohd Irwan melakukan pecah amanah serta konspirasi dengan menyeleweng dana syarikat itu berjumlah US$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan US$1.265 bilion yang dibayar kepada International Petroleum Investment Company pada 9 Mei 2017.

1MDB mendakwa Mohd Irwan turut bersekongkol dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membayar jumlah yang besar iaitu RM2,905,200 kepada Arul Kanda mengikut perjanjian tersebut tanpa mengira kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan ia mengalami kerugian serta kerosakan.

Justeru, 1MDB antara lain menuntut kedua-dua defendan agar membayar US$6.59 bilion bagi pelanggaran itu dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berhubung Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan disambung esok.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy