AM

Hukuman Khidmat Masyarakat Jika Buang Sampah Merata-rata - Nga

13/01/2025 08:29 PM

TELUK INTAN, 13 Nov (Bernama) -- Hukuman berbentuk khidmat masyarakat akan dikenakan terhadap individu yang didapati bersalah kerana membuang sampah merata-rata, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata pelaksanaan hukuman seperti mencuci longkang, menyapu sampah atau mencuci tandas awam akan dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan, tertakluk kepada keputusan mahkamah.

“Tidak ada gunanya kita naikkan kadar kompaun setakat RM300, RM500 mereka boleh bayar dan ulang perbuatan sama tetapi bila kena jalankan khidmat masyarakat, pesalah akan tahu dan tak akan buang sampah lagi.

“Kita serah kepada mahkamah (tentukan hukuman). Jika empat hari (hukuman), kamu (pesalah kena sapu jalan empat hari,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian jentera baharu Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di Bangunan Pejabat MPTI di sini hari ini.

Pada November lepas, Nga dilaporkan berkata pindaan Rang Undang-Undang bagi pelaksanaan hukuman khidmat masyarakat untuk kesalahan pembuangan sampah kecil dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac ini.

Nga berkata hukuman itu akan dilaksanakan melalui penyediaan draf RUU Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) serta Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Menurut Nga, pindaan itu mencakupi seksyen berkaitan hukuman bagi pesalah yang membuang sampah merata-rata, iaitu ia perlu dipinda bagi memberi kesedaran kepada orang ramai.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy