KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Sempena Tahun Baharu Cina 2025, peruncit barangan terkemuka Malaysia, Eco-shop, mengalu-alukan kedatangan Tahun Ular dengan kempen 'Sui Sui Semua Pun Lengkap’.
Eco-shop dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kempen berkenaan mengukuhkan komitmennya untuk menyediakan barangan keperluan perayaan yang berkualiti pada harga RM2.40 bagi memastikan rakyat Malaysia dapat meraikan perayaan dengan meriah.
“Tahun ini kempen 'Sui Sui Semua Pun Lengkap’ merangkumi semangat perayaan dan kemakmuran yang meriah, direka untuk memastikan setiap isi rumah Malaysia dapat menyambut musim perayaan sepenuhnya.
“Melalui promosi eksklusif dan pemberian hadiah perayaan, Eco-shop meneruskan tradisinya dalam memberikan tawaran terbaik untuk barangan keperluan rumah dan hiasan perayaan, menjadikan Tahun Baharu Cina dapat dinikmati oleh semua,” menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Eco-shop Jessica Ng dalam kenyataan sama berkata kempen berkenaan bukan sahaja menawarkan harga berpatutan tetapi juga memberikan kemeriahan perayaan serta memastikan setiap keluarga dapat menyambut Tahun Ular dengan penuh kemakmuran.
“Kami percaya untuk mencipta perayaan yang bermakna, tidak seharusnya membebankan kewangan, dan kami bangga menjadi sebahagian daripada cerita perayaan pelanggan kami,” katanya.
Bermula 17 hingga 26 Jan ini, Eco-shop memaklumkan Dewa Kemakmuran akan membuat kemunculan istimewa di cawangan-cawangan terpilih di seluruh negara untuk membawa rahmat kepada pelanggan.
Selain itu, ahli Eco-App yang berbelanja RM60 ke atas dalam satu resit dari Jumaat hingga Ahad, akan menerima beg kitar semula edisi terhad yang direka khas sempena Tahun Ular.
Pada Februari, tawaran 'Beli & Menang’ menyediakan hadiah bernilai RM12,880 termasuk baucar Eco-shop bernilai RM100, tambah nilai menggunakan PIN Touch 'n Go RM100, tiket taman tema keluarga bernilai RM776 dan pakej percutian bernilai RM1,000.
“Untuk pengalaman membeli-belah lebih baik, pelanggan boleh mengunjungi Eco-Plus Concept Stores di IOI City Mall, Berjaya Times Square dan NU Sentral yang menampilkan rangkaian produk lebih luas dengan harga yang kompetitif,” menurut kenyataan itu.
Untuk maklumat lanjut, ikuti Eco-shop di Facebook (EcoShopMarketing), Instagram (ecoshop_my), TikTok (@ecoshopmalaysia) dan XHS (eco-shop MY).
-- BERNAMA