SEOUL, 14 Jan (Bernama-Xinhua) -- Polis Korea Selatan, agensi antirasuah dan perkhidmatan keselamatan presiden pada Selasa mengadakan perbincangan mengenai pelaksanaan waran tangkap terhadap Presiden yang didakwa, Yoon Suk-yeol, lapor Xinhua.
Mesyuarat tiga pihak itu diadakan sekitar jam 8 pagi waktu tempatan (2300 GMT Isnin) antara pegawai daripada Pejabat Penyiasatan Rasuah bagi Pegawai Tinggi (CIO), Pejabat Penyiasatan Kebangsaan (NOI) dan perkhidmatan keselamatan presiden.
Unit siasatan bersama yang terdiri daripada CIO, NOI dan ibu pejabat penyiasatan kementerian pertahanan dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan bahawa ia telah meminta kerjasama perkhidmatan keselamatan untuk melaksanakan waran tangkap dengan selamat dan aman, sambil menambah bahawa ia sedang menunggu respons daripada perkhidmatan keselamatan.
Semasa perbincangan itu, kedua-dua pihak dilaporkan mengesahkan perbezaan pendirian apabila perkhidmatan keselamatan presiden mengulangi pendirian terdahulu untuk menghalang pelaksanaan waran itu.
NOI telah menghantar surat rasmi pada Isnin, meminta CIO dan perkhidmatan keselamatan mengadakan mesyuarat itu di tengah-tengah kebimbangan terhadap kemungkinan konflik fizikal semasa pelaksanaan waran yang dijangka berlaku awal pagi Rabu, menurut beberapa media tempatan.
NOI dan CIO dilaporkan merancang operasi berskala besar melibatkan kira-kira 1,000 penyiasat untuk menangkap Yoon.
Penyiasat telah cuba menahan Yoon di kediaman presiden pada 3 Jan, tetapi gagal kerana perkhidmatan keselamatan presiden menghalang pelaksanaan waran tangkap itu.
Mahkamah Seoul meluluskan lanjutan waran untuk menahan Yoon pada 7 Jan dengan mengeluarkan waran kedua terhadap presiden yang didakwa itu.
Usul pendakwaan terhadap Yoon diluluskan Parlimen pada 14 Dis 2024 dan diserahkan kepada mahkamah perlembagaan untuk membincangkannya sehingga 180 hari, menyaksikan kuasa presiden Yoon digantung.
Yoon, yang dinamakan oleh agensi penyiasat sebagai suspek utama atas tuduhan pemberontakan, yang telah mengisytiharkan undang-undang tentera pada malam 3 Dis tetapi ia dibatalkan oleh Parlimen beberapa jam kemudian.
-- BERNAMA-XINHUA