PASARAN

Bursa Malaysia Kekal Momentum Positif Pada Tengah Hari

14/01/2025 02:15 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan sesi pagi dalam wilayah positif pada Selasa, didorong oleh peningkatan dalam perkhidmatan kewangan wajaran tinggi terpilih dan saham telekomunikasi.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 7.27 mata kepada 1,592.86 daripada 1,585.59 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks penanda aras itu dibuka 7.38 mata lebih tinggi kepada 1,592.97, bergerak antara 1,590.78 dan 1,599.43 semasa sesi dagangan pagi.

Sentimen pasaran juga adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 428 berbanding 418, sebanyak 493 kaunter tidak berubah, 1,020 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan berjumlah 2.27 bilion unit bernilai RM1.26 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata Bursa Malaysia mungkin terus mengalami ketidaktentuan berikutan pengumuman sekatan eksport terhadap cip.

“Bagaimanapun, peluang dagangan mungkin muncul dalam sektor minyak dan gas, disokong oleh sekatan Amerika Syarikat (AS) ke atas minyak Rusia dan penurunan inventori AS yang terus memacu peningkatan semula dalam minyak mentah Brent.

“Dalam sektor teknologi, potensi peningkatan mungkin terhad berikutan pengumuman terbaharu oleh Presiden AS Joe Biden tetapi kami menjangkakan beberapa peluang belian dalam perkhidmatan pembuatan elektronik, pemasangan dan ujian semikonduktor penyumberan luar dan pemain peralatan ujian automatik, didorong oleh pengukuhan mata wang AS,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 20 sen kepada RM10.28, Tenaga meningkat enam sen kepada RM13.96 dan IHH melonjak lima sen kepada RM7.15, manakala CIMB dan Public Bank turun tiga sen masing-masing kepada RM8.07 dan RM4.42.

Bagi kaunter aktif, EA Holdings dan TWL Holdings tidak berubah masing-masing kepada 0.5 sen dan tiga sen, Velocity Capital menokok setengah sen kepada 8.5 sen, Harvest Miracle menambah 1.5 sen kepada 20 sen, Nationgate dan Industronics menokok satu sen masing-masing kepada RM2.34 dan 4.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 38.93 mata kepada 12,218.29, Indeks FBM Emas Shariah naik 40.43 mata kepada 12,151.29 dan Indeks FBMT 100 naik 43.25 mata kepada 11,907.90.

Indeks FBM 70 menambah 25.30 mata kepada 18,333.74 manakala Indeks FBM ACE meningkat 2.40 mata kepada 5,248.43.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga susut 0.60 mata kepada 835.19, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 74.92 mata kepada 18,908.07, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.16 mata kepada 168.30 dan Indeks Perladangan menambah 33.49 mata kepada 7,476.44. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy