KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Tawaran awam permulaan (IPO) bagi pengendali rangkaian makanan dan minuman (F&B) Oriental Kopi Holdings Bhd telah terlebih langgan kira-kira 60 kali.
Dalam satu kenyataan hari ini, Oriental Kopi berkata ini mencerminkan jumlah langganan bernilai RM1.6 bilion pada harga IPO RM0.44 sesaham.
"Oriental Kopi menyasarkan untuk meraih permodalan pasaran sebanyak RM880 juta sebaik sahaja disenaraikan dengan harga IPO tersebut dan asas saham yang diperbesarkan sebanyak 2.0 bilion saham biasa," kata syarikat itu.
Menerusi IPO itu, yang dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 23 Jan, 2025, syarikat dijangka meraih RM184 juta.
"Bagi 60.0 juta saham terbitan yang diperuntukkan untuk orang awam Malaysia, Oriental Kopi menerima 66,041 permohonan bagi 3,657.61 juta saham terbitan bernilai kira-kira RM1.609 bilion.
"Untuk bahagian Bumiputera, sebanyak 10,156 permohonan untuk 695.88 juta saham diterima, mewakili lebihan langgan sebanyak 22.20 kali, manakala bahagian awam menyaksikan 55,885 permohonan bagi 2,961.73 juta saham, mencerminkan lebihan langganan sebanyak 97.72 kali," katanya.
Syarikat itu berkata sebanyak 20.0 juta saham yang diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan penyumbang yang layak, serta 88.1 juta saham bagi pelabur terpilih dan 250.0 juta saham bagi pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, telah dilanggan sepenuhnya.
Notis peruntukan akan dimaklumkan selewat-lewatnya pada 21 Jan, 2025.
Pengarah Urusan Oriental Kopi Datuk Chan Jian Chern berkata dana yang diperoleh akan mempercepatkan pengembangan syarikat untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap produk dan perkhidmatan F&Bnya.
“Sebanyak RM75.8 juta (41.2 peratus) hasil daripada IPO itu akan diperuntukkan untuk modal kerja, RM53.7 juta (29.2 peratus) untuk menubuhkan ibu pejabat baharu, dapur pusat serta gudang, manakala RM36.4 juta (19.8 peratus) untuk mengembangkan rangkaian kafe di seluruh Malaysia.
“Selain itu, RM5.0 juta (2.7 peratus) diperuntukkan untuk pengembangan segmen makanan berbungkus kami, RM5.5 juta (3.0 peratus) untuk aktiviti pemasaran di pasaran asing, dan RM7.6 juta (4.1 peratus) untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian," katanya.
Alliance Islamic Bank Bhd ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO.
-- BERNAMA