JENAYAH & MAHKAMAH

Lima Individu Ditahan Bantu Siasatan Kes Seleweng Dana Pelaburan RM104 Juta

15/01/2025 07:47 PM

PUTRAJAYA, 15 Jan (Bernama) -- Empat ahli lembaga pengarah syarikat antara lima ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes penipuan melibatkan dana pelaburan awam berjumlah RM104 juta. 

Menurut sumber, empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 50 hingga 60 tahun itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini, kira-kira 7 malam semalam.

“SPRM telah menerima beberapa aduan dan maklumat berkaitan kegiatan berunsur jenayah yang didakwa dilakukan sebuah syarikat pemegang amanah berlesen di bawah Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM). 

“Syarikat itu didapati menggunakan dana dikumpul daripada pelabur untuk kepentingan peribadi individu yang bersekongkol dalam kegiatan jenayah itu," menurut sumber itu.

Sumber memaklumkan syarikat itu dipercayai menyeleweng wang itu ke beberapa syarikat persendirian yang dimiliki oleh proksi.

Kesemua individu itu dibenar direman hingga 21 Jan ini selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin menerima permohonan reman daripada SPRM di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu yang dilakukan menerusi  Op Trust dan memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

"Siasatan ini bertujuan membantu kerajaan mengukuhkan kepercayaan awam terhadap badan pengawal selia yang mengeluarkan lesen untuk syarikat pemegang amanah, selain mewujudkan platform yang bersih dan selamat untuk pelabur," katanya. 

Beliau berkata modus operandi digunakan suspek juga memerlukan kepakaran tinggi dalam kalangan pegawai SPRM untuk menjejak aliran kewangan yang terlibat.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy