SHAH ALAM, 15 Jan (Bernama) -- Kerjasama antara kerajaan Selangor dan Persekutuan akan terus ditingkatkan seiring agenda reformasi perkhidmatan awam yang digagaskan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata perkara itu merupakan antara agenda yang dibincangkan ketika beliau melakukan kunjungan hormat ke atas Shamsul Azri di Putrajaya hari ini.
"Terima kasih saya ucapkan kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang sudi menerima kunjungan saya untuk bertukar sudut pandang dalam meningkatkan tahap kerjasama antara negeri Selangor dan kerajaan Persekutuan.
"Semoga sinergi ini utuh dan persefahaman kerajaan negeri Selangor dan Persekutuan dapat dimantapkan melalui agenda reformasi perkhidmatan awam yang digagas oleh Tan Sri Ketua Setiusaha Negara," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Amirudin berkata perbincangan yang turut mencakupi pelbagai hal itu disantuni dengan baik dan positif oleh kedua-dua pihak, dengan Shamsul Azri turut berkongsi kenangan ketika berkhidmat di Selangor lebih 10 tahun lepas.
Terdahulu, Shamsul Azri turut berkongsi mengenai pertemuan beliau dengan Amirudin yang membincangkan pelbagai hal berkenaan kerjasama Persekutuan dan negeri sebagaimana termaktub dalam Deklarasi Kuala Lumpur 2024.
Beliau berkata turut dibincangkan mengenai peranan Selangor dalam Kepengerusian ASEAN 2025 sebagai pemangkin kerjasama serantau.
Shamsul Azri juga menghargai pandangan dan komitmen yang diberikan Amirudin dan yakin pertemuan itu akan terus meningkatkan sinergi serta hubungan erat antara kerajaan Persekutuan dan Selangor.
"Sebagai bekas penjawat awam di Selangor selama 18 tahun, saya bangga menerima kunjungan YAB Menteri Besar ke pejabat saya," katanya.
-- BERNAMA