SUKAN

Kejayaan Natasha Penguat Semangat Buat Ibu

15/01/2025 10:57 PM

SEPANG, 15 Jan (Bernama) -- Menyaksikan kejayaan anaknya Natasha Mohamed Roslan mengukir nama di pentas dunia umpama penawar dan penguat semangat buat Anita Mohamed Ali, 62, dalam perjuangan melawan kanser pankreas yang dihidapinya. 

Bagi Anita tiada yang lebih menggembirakan buat dirinya apabila mengetahui atlet boling negara itu berjaya merangkul kejuaraan Kejohanan Piala Dunia 2025 sekali gus menamatkan kemarau 53 tahun negara tanpa gelaran bagi kategori individu wanita di kejohanan itu baru-baru ini.

“Sebagai ibu semestinya saya sangat gembira, begitu juga ayah dan keluarganya yang lain. Memang niat dia sebelum pergi nak menang dan semua keluarga tahu, malah dia ada kata ‘mummy tidak berapa sihat jadi dia akan buat untuk mummy’. Alhamdullilah dia berjaya dan saya seronok untuk dia. 

“Dia ada hubungi saya baru-baru ini dan kata ‘mummy kena kuat sebab Ata (panggilan manja Natasha) nak menang banyak lagi selepas ini’. Insya-Allah doa saya akan sentiasa mengiringi dia,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini. 

Anita yang dilihat tidak mampu menahan air mata ketika menyambut ketibaan anaknya dari Kowloon, Hong Kong, berkata dia mula menghantar Natasha bermain boling sekitar usia tujuh tahun kerana merasakan anaknya itu mempunyai bakat. 

Bahkan, dia sedikit ‘garang’ apabila menemani Natasha bertanding dalam sesuatu kejohanan kerana mahu melihat anak keempat daripada lima adik-beradik itu berjaya dan mempamerkan potensi sebenar.

“Sampai sekarang umur dia 28 tahun pun saya masih temankan dia pergi berlatih sebab selagi namanya anak selagi itu kita lihat dia macam anak kecil.

 “Ketika saya disahkan menghidap kanser pankreas pada 2022, memang kalau diikutkan dia tidak mahu pergi sebarang kejohanan tapi saya desak dia supaya pergi juga,” kata pesara guru itu.

Sementara itu, Natasha berharap dapat mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga untuk negara. 

“Memenangi gelaran sekali gus melakar sejarah buat negara suatu yang amat bermakna bagi saya kerana ia bukan mudah untuk dilakukan,” katanya.

Pada Kejohanan Piala Dunia 2025 itu, Natasha membawa pulang pingat emas menerusi acara perseorangan wanita dan pingat perak menerusi kategori berpasukan wanita. 

 -- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy