JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Empat Individu Bantu Siasatan Video Tular Lelaki Dipukul

15/01/2025 11:34 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Empat lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes seorang lelaki dipukul di kawasan Semenyih, Kajang, bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata video kejadian itu didapati tular menerusi media sosial hari ini dan siasatan mendapati kejadian berlaku pada 5.45 petang, 29 Dis lepas.

“Dua suspek telah ditahan pada 8 dan 12 Jan manakala dua lagi suspek ditahan hari ini. Hasil semakan terhadap semua suspek berumur 32 hingga 36 tahun itu mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian terbabit boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes Insp Mohd Amirul Abd Wahab di talian 013-5495236 bagi membantu siasatan," katanya.

– BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy