Oleh Danni Haizal Danial Donald dan Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Ringgit memulakan urus niaga Khamis dengan mencatat pengukuhan kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), di tengah-tengah sentimen memberangsangkan pelabur berikutan data ekonomi negara maju itu yang mengatasi jangkaan awal, kata penganalisis.
Keadaan itu telah menyuntik sedikit sentimen positif susulan tekanan inflasi AS yang turut mendorong minat terhadap risiko dalam pasaran kewangan.
Pada jam 8 pagi ini, ringgit diniagakan pada 4.4950/5045 berbanding dolar AS daripada paras 4.4970/5010 pada akhir urus niaga semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang diumumkan, seiring jangkaan pada 2.9 peratus manakala teras IHP lebih rendah daripada jangkaan iaitu 3.2 peratus berbanding unjuran ramai pada 3.3 peratus.
“IHP terkini itu telah menghidupkan semula harapan Rizab Persekutuan AS (Fed) untuk berada di landasan tepat bagi menurunkan kadar faedah tahun ini.
"Nota Perbendaharaan AS bagi 10 tahun pula menyaksikan 14 mata asas lebih rendah kepada 4.65 peratus manakala Indeks Dolar AS (DXY) turun kepada 109.083 mata," katanya kepada Bernama.
Susulan itu, Mohd Afzanizam berkata ringgit mampu memaparkan prestasilebih baik pada hari ini berikutan inflasi AS dan berkemungkinan terus bergerak dalam julat di bawah RM4.50 dan sekitar RM4.48 hingga RM4.49.
Selain itu, Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata data IHP AS mencatat angka lebih baik daripada yang dijangkakan, memberi kelegaan sederhana susulan diasak tekanan inflasi.
"Ini memberi pasaran Perbendaharaan AS masa yang singkat untuk menguji pasaran hasil lebih rendah. Namun, saya tidak pasti sama ada tindakan melepaskan (pegangan) bon ini akan berlanjutan lebih lama.
"Beberapa sentimen positif terhadap jangkaan inflasi juga tidak cukup bagi mengubah keadaan, terutama dengan pentadbiran baharu Presiden dipilih Donald Trump untuk memacu ekonomi AS ke paras yang lebih memberangksangkan,” katanya.
Innes berkata di pasaran pertukaran asing misalnya, para peniaga memanfaatkan peluang penyusutan dolar untuk melonjakkan kedudukan masing-masing dan menjangkakan lebih banyak ketidaktentuan menjelang detik pelantikan rasmi Trump pada 20 Januari ini.
Dalam pada itu, ringgit dibuka bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.
Ia meningkat berbanding euro kepada 4.6276/6374 daripada 4.6364/6405 semalam, susut berbanding yen Jepun kepada 2.8768/8831 daripada 2.8656/8685 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.5023/5140 daripada 5.4949/4998 semalam.
Berbanding mata wang ASEAN, ringgit mencata prestasi bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2897/2971 daripada 3.2909/2943 dan lebih tinggi berbanding rupiah Indonesia pada 275.3/276.0 daripada 275.4/275.8, semalam.
Ia merosot berbanding baht Thailand kepada 13.0022/0388 daripada 12.9503/9682 semalam dan mendatar berbanding peso Filipina pada 7.67/7.69.
-- BERNAMA