JENAYAH & MAHKAMAH

JAS Kedah Serbu Kilang Langgar Akta Kualiti Alam Sekeliling

16/01/2025 03:14 PM

ALOR SETAR, 16 Jan (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar Negeri (JAS) Kedah menyerbu lapan kilang di sekitar bandar raya ini dan Sungai Petani, yang disyaki melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 menerusi satu Op Gempur, semalam.

Pengarah JAS Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata pemeriksaan dijalankan terhadap kilang elektrik dan elektronik, kilang berasaskan getah dan logam di kawasan terbabit.

Beliau berkata dalam operasi itu lapan arahan lapangan, sembilan notis arahan dan tujuh kompaun telah dikeluarkan kerana melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, khususnya berkaitan pengurusan Buangan Terjadual.

“Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 dikeluarkan ke atas premis-premis, khususnya penambahbaikan kawasan stor penyimpanan buangan terjadual dan meningkatkan kebersihan, pelabelan dan kemas kini inventori buangan terjadual.

“Kita nak pastikan pihak industri sentiasa mematuhi keperluan perundangan dan menunjukkan keseriusan JAS dalam penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sharifah Zakian berkata orang ramai boleh melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

“Maklumat yang berkualiti sebaiknya mempunyai lokasi tepat seperti alamat dan koordinat serta bukti bergambar atau video yang menunjukkan kejadian, nombor plat kenderaan, individu terlibat dan sebagainya,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy