AM

Pembinaan Lorong Tambahan Lebuhraya PLUS Sedenak-Kulai Dihenti Sementara 12 Hari

16/01/2025 03:00 PM

KULAI, 16 Jan (Bernama) -- Kerja-kerja pembinaan lorong tambahan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) laluan Sedenak-Kulai akan dihentikan sementara selama 12 hari bermula 23 Jan hingga 3 Feb ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pemberhentian sementara itu bagi memastikan kelancaran trafik sempena perayaan Tahun Baharu Cina akhir bulan ini dan cuti persekolahan bermula Sabtu ini.

"Saya difahamkan sepanjang masa (musim perayaan) dua lorong biasa ini tidak akan diganggu.

"Jadi Tahun Baharu Cina akan datang ini perintah henti kerja telah diberikan dari 23 Jan hingga 3 Feb  supaya tidak mengganggu jalan raya," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas melawat Projek Pembinaan Lorong Tambahan Lebuhraya Utara-Selatan Fasa 1 @ Persimpangan Bertingkat Sedenak di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Seri Hasni Mohamad, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir, Ketua Pengarah LLM Datuk Sazali Harun dan Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad Datuk Nik Airina Nik Jaffar.

Nanta berkata kemajuan projek pembinaan lorong tambahan laluan Kulai-Sedenak mencapai 5.02 peratus setakat 31 Dis lepas dan kerja-kerja pembinaan yang bermula sejak Julai lepas berjalan lancar. 

Beliau berkata kerja-kerja yang giat dijalankan antaranya kerja tanah, pemotongan dan tambakan cerun, struktur perparitan, pengalihan utiliti dan pelan pengurusan trafik.

"Selepas kerja-kerja tanah di laluan Sedenak-Kulai arah Selatan ini selesai, kerja pembinaan lorong tambahan di lokasi berkenaan akan dimulakan secara berperingkat.

"Keseluruhan kerja pembinaan lorong tambahan ini dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua 2027 dan kos keseluruhan Fasa 1 ini adalah RM515 juta," katanya.

--BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy