KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Penjaga gol bola sepak utama wanita kebangsaan Nurul Azurin Mazlan yang mengorak langkah lebih jauh mengembangkan karier di pentas antarabangsa dengan menyertai pasukan bersaing di Liga Albania, FKK Vllaznia telah berlepas ke luar negara malam tadi.
Perkembangan itu dikongsikan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menerusi hantaran di Facebook rasminya, yang telah menemui bekas pemain kelab Sabah FA itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Tirana, Albania.
Persatuan diwakili Ketua Pegawai Eksekutif PFAM Izham Ismail selain beberapa ahli keluarga dan rakan yang hadir memberi sokongan moral buatnya, sebelum menuju ke pintu pelepasan.
Sebelum ini, atlet berusia 24 tahun itu telah membantu Sabah FA menjadi naib juara Liga Wanita Nasional (LWN) 2024 dan mara ke Liga Juara-Juara AFC Wanita (AWCL).
Beliau juga berpengalaman bermain di luar negara seperti Misaka United FC yang berpangkalan di India dan bersama ShF Presingu di Kosovo.
Pencapaian tersebut menjadi kebanggaan rakyat Malaysia sekali gus membuktikan kemampuan pemain bola sepak wanita negara bersaing di peringkat antarabangsa.
-- BERNAMA