AM

Hasrat Sumbang Kuih Sempena Tahun Baharu Cina Tidak Kesampaian

17/01/2025 03:25 PM

JOHOR BAHRU, 17 Jan (Bernama) -- Hasrat seorang warga emas untuk menyumbang kuih tradisional sempena Tahun Baharu Cina tidak kesampaian apabila maut dalam kebakaran bersama anak lelaki dan cucu perempuannya di Kampung Dato Bentara, Jalan Limau Manis, Ulu Tiram, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu, Ng Geok Choo, 63, maut bersama anaknya Lee Chiw Yong, 30, serta cucu Chen Si Jing, 11, tahun.

Rakan mangsa, Goh Leng Ber, 60, berkata Ng telah menyiapkan kuih untuk disumbangkan kepada tokong berdekatan.

"Dia bukan orang kaya tetapi sangat baik hati dan suka memberi. Biasanya bila ada duit, dia akan buat kek dan kuih untuk beri pada orang susah," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Mendiang menyewa di rumah berkenaan dan menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mendiang yang mempunyai dua cahaya mata dijadualkan menerima bakul makanan sempena Tahun Baharu Cina daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram esok.

Sementara itu, anak mendiang, Lee Chiew Siang, 31, ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) berkata dia reda atas pemergian ibu, adik lelaki dan anak perempuannya dalam sekelip mata.

Seorang lagi anak lelakinya Chen Yu Rong, 12, terselamat dalam kejadian itu.

Dia yang bekerja di sebuah kedai minuman berkata kejadian itu diketahuinya selepas mendapat panggilan daripada pihak hospital pada 4 pagi.

"Memang terkejut dan sedih, kejadian seperti ini berlaku ketika sambutan Tahun Baharu Cina hampir tiba, tidak sangka kejadian ini boleh terjadi kepada keluarga saya," katanya.

Lee berkata kedua-dua anaknya tinggal bersama ibunya memandangkan dia dan suami masing-masing bekerja.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya Pegawai Bomba Kanan II Rafie Ahmad Sareng berkata 24 anggota berserta lima jentera digegaskan ke lokasi selepas menerima panggilan berkaitan kejadian.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2383726