AM

Wartawan Bernama Antara Penerima Anugerah Pena Emas MiSHA 2024

18/01/2025 12:54 AM

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Wartawan kanan Unit Digital Media Bernama Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman antara sembilan pengamal media  yang berjaya merangkul Anugerah Pena Emas pada Majlis Anugerah Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Perindustrian Malaysia (MiSHA) 2024, di sini, hari ini.

Pengiktirafan itu diberikan atas sumbangan pengamal media menyalurkan maklumat bagi meningkatkan taraf keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam industri. 

Turut menerima anugerah itu Ketua Operasi Siaran Saluran Sukan RTM Raja Ahmad Yusof Raja Amzah, wartawan Berita Harian Muhammad Yusri Muzamir, Pengarang Berita Majoriti Mohd Hasriq Amiruddin,  Wartawan Sukan TV3 Hazreen Mubarak, Akbar Sahari (Astro Arena), Noor Fazrina Noor Kamal (Edisi 9), Mohd Shariza Abdullah (Utusan) dan Abdul Halim Hadi (Malaysia Tribune).

Anugerah Kebangsaan Kecemerlangan Prinsip Pencegahan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH PoP) 2024 itu disampaikan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan penerima membawa pulang sijil, plak penghargaan dan trofi.

Sebanyak 150 penghargaan ditampilkan pada Majlis Anugerah MiSHA kali ini yang dianjurkan bagi meraikan individu dan organisasi daripada pelbagai sektor yang telah berjaya melaksanakan strategi dan amalan pengurusan ancaman berdasarkan rangka kerja OSH PoP yang cekap.

Dzulkefly turut menyampaikan Anugerah Khas Menteri 2024 Kecemerlangan Dalam Aspek Kesihatan Pekerjaan kepada Gamuda Berhad manakala anugerah tertinggi Anugerah Platinum OSH PoP 2024 diberikan kepada Petronas.

Terdahulu, dalam ucapannya Dzulkefly berkata anugerah bertemakan 'Reinventing Health at Work' itu bertujuan menghargai kecemerlangan dalam keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

  -- BERNAMA


 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2383998