AM

Kepengerusian ASEAN: Pengusaha Industri Pelancongan Sedia Sambut Pelancong

17/01/2025 04:10 PM

JOHOR BAHRU, 17 Jan (Bernama) -- Lebih 70 peratus pengusaha industri pelancongan di Malaysia  bersedia untuk menyambut kedatangan pelancong dari rantau ASEAN, kata Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk P Manoharan.

Beliau berkata persediaan itu termasuk memperkenalkan pelbagai tarikan unik kepada pelancong agar dapat menonjolkan kelebihan negara ini sebagai destinasi pelancongan utama di Asia Tenggara.

“Walaupun tarikan di negara ASEAN hampir serupa seperti pantai dan makanan namun Malaysia menawarkan keunikan tersendiri melalui kepelbagaian masyarakatnya.

“Tidak seperti negara lain di ASEAN ... Malaysia kaya dengan pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan banyak lagi. Keharmonian inilah menjadi kekuatan kita untuk menarik pelancong,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Beliau juga percaya slogan “Malaysia Truly Asia” masih relevan digunakan dalam kempen pelancongan kerana mengambil kira keunikan budaya dan identiti negara yang menjadikannya destinasi lengkap untuk pelancong yang ingin merasai kepelbagaian budaya di Asia.

Menjelang Kepengerusian ASEAN 2025, beliau turut menasihatkan para pelancong berhati-hati memilih pakej pelancongan yang ditawarkan agensi pelancongan susulan terdapat isu penipuan pakej berlaku dalam negara. 

“Jika ada pakej pelancongan sepatutnya bernilai RM10,000 tetapi ditawarkan pada harga RM2,000, itu sesuatu yang mencurigakan. Semak dengan teliti, baca ulasan dan pastikan tawaran itu betul sebelum membuat bayaran.

“Perkara sama juga perlu dilakukan ketika memilih penginapan seperti inap desa untuk mengelakkan pengalaman buruk. Jangan mudah terpedaya dengan tawaran yang kelihatan terlalu baik,” katanya.

Laos secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi Asean kepada Malaysia pada Majlis Penutupan Sidang Kemuncak Asean ke-44 dan ke-45 di Vientiane.

Malaysia pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2383771