JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tumpas Sindiket Seludup Daging Babi Sejuk Beku

17/01/2025 07:47 PM

JOHOR BAHRU, 17 Jan (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan daging babi sejuk beku dengan penahanan lapan individu di kawasan jeti tidak diwartakan di Kampung Teluk Kabung, Pasir Gudang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia negeri menahan lima lori pelbagai jenis di lokasi berkenaan, kira-kira pukul 8.35 pagi.

Beliau berkata kesemua tujuh lelaki dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 26 hingga 59 tahun itu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan secara haram.

“Kesemua lori yang ditahan itu dipercayai membawa muatan daging babi sejuk beku yang diseludup masuk secara haram dari negara jiran dan tidak bercukai.

“Kita juga telah merampas 664 kotak berisi daging babi sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM310,752, wang tunai RM37,168.70 dan sebuah bot fiber berserta enjin serta lima lori rigid (refrigerated) yang dianggarkan bernilai RM853,000. Jumlah keseluruhan nilai rampasan RM1,200, 920.70,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sohaimi berkata hasil semakan mendapati tiga daripada suspek terbabit mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2383819