KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Seorang warga emas didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencabul kehormatan seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun.
Hakim Mohd Kafli Che Ali yang menjatuhkan hukuman itu turut memerintahkan Ng Boo Cheng, 63, menjalani hukuman penjara tujuh bulan jika gagal membayar denda.
Lelaki itu didakwa mencabul kehormatan kanak-kanak terbabit di sebuah kedai makan di Setapak di sini, pada 5 petang, 17 April 2024, mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, semasa kanak-kanak lelaki itu dalam perjalanan pulang ke rumah, tertuduh telah memanggil mangsa masuk ke dalam kedai makan miliknya serta bertanya khabar dan memeluk mangsa.
Mangsa mengenali tertuduh kerana pernah membeli makanan di kedai terbabit dan semasa kejadian itu berlaku, kedai berkenaan tutup.
Mangsa kemudian memberitahu bapanya mengenai kejadian itu dan laporan polis telah dibuat pada hari sama (17 April).
Peguam S. Narasimhan merayu hukuman denda rendah atas alasan anak guamnya tidak bekerja kerana menghidap penyakit darah tinggi, diabetes serta sakit jantung yang memerlukan rawatan susulan di Hospital Serdang.
“Tertuduh kesal dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan itu lagi. Saya mohon hukuman penjara terhadap anak guam dikecualikan dan hanya diberikan hukuman denda. Tertuduh juga tidak akan mengganggu mangsa dan keluarganya,” kata peguam itu.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias memohon hukuman penjara dan sebatan yang setimpal dengan kesalahan itu bagi memberi pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat.
“Perbuatan ini jijik dan tidak bermoral… mangsa merupakan kanak-kanak berusia 12 tahun 10 bulan yang sepatutnya dilindungi bukan mengambil kesempatan terhadapnya. Kejadian ini memberi impak kepada keluarga dan kehidupan mangsa,” katanya.
-- BERNAMA