AM

Irmohizam Terima Anugerah Alumni Tersohor, Duta Alumni UPNM

17/01/2025 07:18 PM

KUALA LUMPUR, Jan 17 (Bernama) -- Pengarah Urusan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) Komander Kehormat Prof Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim menerima Anugerah Alumni Tersohor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan dilantik sebagai Duta Alumni universiti berkenaan. 

Pengiktirafan tersebut diterima pada Majlis Sinergi Bersama Alumni UPNM 2025 yang berlangsung WTCKL di sini hari ini. 

Anugerah Tersohor Alumni UPNM diperkenalkan bermula tahun ini sebagai mengiktiraf alumni yang menunjukkan kecemerlangan luar biasa dalam bidang masing-masing selain sumbangan mereka terhadap universiti, masyarakat, negara dan dunia. 

Anugerah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPNM Prof Datuk Dr Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi. 

Irmohizam yang merupakan penerima pertama anugerah itu mengucapkan terima kasih atas pengiktirafan tersebut. 

“Saya amat berbesar hati menerima Anugerah Tersohor UPNM dan dilantik sebagai Duta Alumni UPNM. Saya sangat teruja dan bangga menjadi penerima pertama anugerah ini.

“Terima kasih tidak terhingga kepada pihak unversiti atas pengiktirafan ini. Saya akan terus membuat yang terbaik untuk memperkasakan dan mengukuhkan jaringan alumni UPNM secara berterusan,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.  

Sembilan alumni lain turut menerima Watikah Duta Alumni UPNM pada majlis tersebut. 

Irmohizam kini sedang menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) ketiganya dalam Pengurusan dan Pentadbiran di UPNM.

Beliau juga berkhidmat sebagai Profesor Adjung di Pejabat Naib Canselor (Akademik dan International)  UPNM dan pernah menerima Anugerah Sarjana Cemerlang Tuanku Canselor (Sains Sosial) UPNM pada 2023. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2383855