DUNIA

Menteri Luar Malaysia Tiba Di Langkawi Untuk Permukiman ASEAN

17/01/2025 08:03 PM

Oleh Massita Ahmad

LANGKAWI, 17 Jan (Bernama) -- Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan selamat tiba di Langkawi pada Jumaat (17 Jan) bagi menghadiri Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu.

Pesawat Mohamad mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada kira-kira 5.45 petang dan turut menaiki pesawat itu rakan sejawatnya dari Laos, Thongsavanh Phomvihane serta Setiausaha Tetap Kementerian Luar Myanmar, Aung Kyaw Moe.

Rakan sejawatnya dari Brunei, Dato Erywan Pehin Yusof, tiba lebih awal pada hari yang sama, manakala Maris Sangiampongsa dari Thailand dijangka tiba pada sebelah malam.

Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Enrique A. Manalo, tiba pada Khamis.

Sementara itu, Menteri Luar Kemboja, Indonesia, Singapura, Timor-Leste dan Vietnam dijangka tiba pada Sabtu.

Menteri Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Timor-Leste, Bendito dos Santos Freitas, akan menghadiri permukiman tersebut sebagai pemerhati.

Permukiman AMM, yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi, merupakan mesyuarat peringkat menteri pertama ASEAN di bawah Kepengerusian Malaysia bagi 2025, yang menjadi pembuka tirai bagi tahun yang sibuk dan penting.

Lebih 200 delegasi dari 10 negara anggota ASEAN, bersama negara pemerhati Timor-Leste, dijangka menghadiri permukiman tersebut.

Malaysia secara rasmi mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN 2025 pada 1 Jan, kali kelima negara ini menerajui kumpulan serantau tersebut sejak penubuhannya pada 1967.

Lebih 300 mesyuarat dan program utama akan dianjurkan di seluruh negara tahun ini.

Malaysia sebelum ini pernah mempengerusikan ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2383896