AM

Pelancongan Pascapandemik ASEAN Perlu Model Perniagaan Mampan, Dipacu Kualiti - Fadillah

18/01/2025 11:04 PM

JOHOR BAHRU, 18 Jan (Bernama) -- Pelancongan pascapandemik di ASEAN bukan sahaja perlu menumpukan kepada pemulihan, tetapi juga peralihan kepada model perniagaan yang mampan dan dipacu kualiti, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Transformasi Tenaga dan Air berkata rantau ASEAN berpotensi untuk menerajui usaha global dengan memperjuangkan penyahkarbonan dalam penerbangan, mengintegrasikan tenaga boleh diperbaharui dan memajukan pendekatan pelancongan inovatif seperti pelancongan berasaskan komuniti, ekopelancongan dan pelancongan regeneratif.

“Inisiatif ini bertujuan memastikan manfaat yang saksama untuk masyarakat tempatan, selain memelihara keaslian budaya dan melindungi alam sekitar,” katanya pada majlis perasmian Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2025 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri-Menteri Pelancongan negara ASEAN, Timor Leste dan rakan dialog ASEAN.

Fadillah berkata ASEAN merupakan antara pasaran pelancongan paling dinamik di dunia, yang semakin pulih daripada cabaran akibat COVID-19.

Beliau berkata Asia Tenggara mengalu-alukan kehadiran lebih 100 juta pelancong pada 2023, yang mencapai 70 peratus tahap prapandemik.

“Menjelang 2024, rantau ini dijangka melepasi 130 juta ketibaan, menandakan pemulihan sepenuhnya. Kejayaan ini mencerminkan daya tahan dan keyakinan ASEAN dalam memacu pelancongan ke hadapan,” katanya.

Fadillah berkata menurut peneraju teknologi pengembaraan Amadeus, pada 2025 pertumbuhan pelancongan di Asia akan dibentuk oleh dasar visa yang fleksibel, lebih banyak laluan penerbangan dan pilihan perjalanan mewah.

“Asia dijangka menyumbang 35 peratus daripada perbelanjaan perjalanan masa lapang global dan 50 peratus pertumbuhan penumpang udara dalam 15 tahun akan datang, mengukuhkan peranannya sebagai peneraju global dalam pelancongan dan pertumbuhan ekonomi,” katanya dan menambah bahawa menangani cabaran pelancongan berlebihan adalah penting untuk mengekalkan keseimbangan antara pertumbuhan pelancongan dan barangan awam.

Fadillah berkata Pelan Hala Tuju Tindakan untuk Pembangunan Pelancongan Mampan di ASEAN menyokong kerjasama pelbagai sektor yang melibatkan majlis perbandaran, sistem pengangkutan dan pihak berkepentingan swasta untuk menambah baik infrastruktur dan meningkatkan kebolehdiaman bagi kedua-dua penduduk dan pelawat.

“Pada ketika pelaburan pelancongan semakin pulih dengan FDI dalam sektor itu meningkat daripada US$1.2 bilion (US$1=RM4.504) pada 2022 kepada US$2.8 bilion pada 2023, ini masih jauh di bawah paras kemuncak prapandemik US$24.5 bilion pada 2019.

“Untuk menangani jurang ini, ASEAN mesti mengutamakan pelaburan berkualiti yang mempelbagaikan destinasi, mengagihkan semula aliran pelancong dan memanfaatkan teknologi untuk mengurangkan tekanan ke atas kawasan tumpuan sedia ada.

“Dengan melakukannya, ASEAN boleh meletakkan dirinya sebagai platform penting untuk mempromosikan pertumbuhan pelancongan yang inklusif dan seimbang di rantau ini,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata adalah penting juga untuk meletakkan ASEAN sebagai destinasi pilihan tunggal dan hab inovasi, merapatkan jurang infrastruktur digital dalam kalangan negara anggota.

Beliau berkata Pelan Induk Digital ASEAN 2025 dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) merupakan pengubah permainan ke arah integrasi serantau dalam bidang seperti pembayaran rentas sempadan, keselamatan siber, kemahiran digital, mobiliti bakat, dan teknologi baru muncul seperti AI.

Mengenai ATF 2025, Fadillah berkata acara itu menyemarakkan semangat untuk kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Beliau berkata bertemakan ‘Malaysia-Satu Destinasi Mampan dan Kaya Budaya’ dengan tumpuan kepada pelancongan mampan dan bernilai tinggi, kempen itu menyasarkan 35.6 juta ketibaan pelancong antarabangsa dan penerimaan pelancongan sebanyak RM147.1 bilion.

Selain itu, beliau berkata dari 2024 hingga 2026, dijangka lebih 850 persidangan antarabangsa dan acara perniagaan akan diadakan sempena VM2026, dijangka menjana impak ekonomi sebanyak RM7.38 bilion.

“Forum Pelancongan ASEAN 2025 adalah lebih daripada sekadar acara, ia satu penyataan niat. Ia satu pengisytiharan bahawa melalui perpaduan dan kerjasama, kita boleh bekerjasama, berganding bahu, untuk membina ekonomi pelancongan berdaya tahan yang memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan, daripada komuniti tempatan hinggalah kepada perniagaan kecil,” katanya.

Beliau berkata hasilnya ialah ia akan mewujudkan ekosistem pelancongan yang mampan, inklusif dan berdaya tahan untuk tahun-tahun akan datang.

“Saya meminta anda semua - Menteri Pelancongan, penggubal dasar, pemimpin industri dan pihak berkepentingan, untuk merebut peluang ini untuk menjalin perkongsian, berkongsi pandangan dan inspirasi.

“Marilah kita pastikan landskap pelancongan yang kita bentuk hari ini menjadi warisan untuk generasi akan datang. Bersama-sama, dalam perpaduan dan gerakan, kita boleh memacu pelancongan ASEAN ke arah masa depan yang lebih cerah, makmur dan lebih mampan,” katanya.

Terdahulu, Fadillah menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan dengan Kerajaan Malaysia mengenai kerjasama dalam bidang pelancongan.

MoU ditandatangani Tiong dan Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan Yu Inchon.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2384244