SUKAN

Rashid Sidek Buru Bintang Muda Untuk Teruskan Legasinya

19/01/2025 06:27 PM

KOTA BHARU, 19 Jan (Bernama) -- Legenda perseorangan badminton negara Datuk Rashid Sidek kini melangkah ke satu fasa baharu,memburu empat bintang muda yang bakal menggantikan tempatnya di persada antarabangsa.

Misi beliau bukan hanya untuk mencari pemain tetapi untuk menemui juara yang memiliki semangat dan dedikasi luar biasa, yang mampu membawa nama Malaysia ke puncak dunia, meneruskan kecemerlangan badminton negara yang telah beliau bantu bangunkan.

Rashid berkata misi itu dilaksanakan menerusi Program TV Realiti ‘Rashid Mencari Juara’ (RMJ) yang akan ditayangkan di saluran 111 Sukan HD Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Ogos ini, terbitan Monaj Excel Sdn Bhd.

Beliau yang juga pengetua dan penasihat RMJ itu berkata misi berkenaan setakat ini telah mendapat penyertaan hampir 100 peserta daripada zon utara dan timur dalam tempoh dua hari.

“Bagi zon utara, kita telah laksanakan Khamis lepas membabitkan negeri Perlis, Pulau Pinang dan Kedah, manakala pada hari ini kita meneruskan misi di zon timur yang melibatkan Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum diteruskan di zon tengah melibatkan Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan pada Selasa ini,” katanya pada sesi uji bakat dan pemilihan peserta  remaja perseorangan lelaki untuk program RMJ, di sini, hari ini.

Rashid berkata dari segi saringan dan pemilihan peserta untuk memasuki misi ini, ia dilakukan oleh persatuan badminton negeri yang melibatkan pemilihan pemain muda berusia antara 16 hingga 17 tahun serta mempunyai kriteria-kriteria yang ditetapkan.

Mengulas lanjut, beliau berkata pemilihan akhir peserta yang layak untuk memasuki misi berkenaan akan diputuskan pada akhir bulan ini dan seramai 12 peserta akan disenarai pendek serta dipilih untuk menjalani kem latihan RMJ selama sebulan di Kuala Lumpur.

“Daripada 12 peserta berkenaan, hanya empat orang akan dipilih untuk meneruskan latihan secara persendirian di Kelab Rashid Sidek untuk digilap menjadi pemain badminton bertaraf antarabangsa.

“Ini juga merupakan salah satu inisiatif daripada diri saya sendiri untuk terus memartabatkan sukan badminton negara dalam usaha melahirkan pelapis baharu yang mampu membawa nama sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2384423