AM

MTL: MOTAC Terima Permohonan Baiki Kerosakan Fasiliti Bernilai RM80 Juta

19/01/2025 05:20 PM

TUMPAT, 19 Jan (Bernama) -- Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) setakat ini menerima lebih 100 permohonan bernilai sekitar RM80 juta untuk membaik pulih fasiliti pelancongan yang rosak akibat Monsun Timur Laut (MTL) sejak November lepas.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata jumlah itu termasuk 30 daripada Kelantan dan proses permohonan masih berterusan melibatkan pelbagai kemudahan seperti laluan pejalan kaki, wakaf, tandas dan infrastruktur rumah inap.

“Kita akan meneliti semua permohonan berkenaan dalam mesyuarat hujung bulan ini bagi meluluskan peruntukan menerusi dana MOTAC untuk tujuan penyelenggaraan kerosakan,” katanya pada Program Misi Bantuan Pasca Banjir Skuad Ihsan MADANI MOTAC di Pulau Suri, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Shaharuddin berkata MOTAC akan membantu membaik pulih dewan serba guna dan jeti di Kampung Pulau Suri di sini bagi keselesaan penduduk dan pelancong.

Sementara itu, Penyelaras Inap Desa Nelayan Pantai Suri Nor Fadhila Hanim Ramli berkata kemudahan pelancongan di kawasan tersebut perlu dibaiki sekurang-kurangnya dua tahun sekali susulan banjir. 

Menurutnya, terdapat kira-kira 24 rumah inap di kampung itu yang menjadi tarikan pengunjung dari pelbagai negara dan ada sebahagian pelancong menginap melebihi sebulan bagi merasai sendiri kehidupan di pulau itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2384424