DUNIA

Pengacara Sukan Australia Mohon Maaf Selepas Djokovic Boikot Temu Bual

20/01/2025 03:36 PM

MELBOURNE, 20 Jan (Bernama-dpa) -- Pengacara sukan Australia Tony Jones pada Isnin secara terbuka memohon maaf kepada bintang tenis Novak Djokovic atas komen yang menghina dirinya dan penyokongnya, selepas pemain Serbia itu memboikot temu bual di gelanggang sehari sebelumnya sebagai tanda protes, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Djokovic tidak menghadiri temu bual selepas perlawanan pada Ahad, susulan kemenangannya ke atas Jiri Lehecka untuk mara ke suku akhir Terbuka Australia.

Beliau kemudian menjelaskan bahawa tindakannya memboikot penyiar utama Channel Nine adalah disebabkan “komen menghina dan menyinggung” terhadap dirinya serta ejekan terhadap penyokong Serbia oleh pengacara sukan saluran itu, Tony Jones, sehari sebelumnya.

Dalam insiden berkenaan, Jones mengejek sekumpulan penyokong Djokovic dengan menyanyikan, "Novak is overrated, Novak's a has-been, Novak, kick him out."

Pada Ahad, Djokovic mengadu Jones “memilih untuk tidak mengeluarkan sebarang permohonan maaf secara terbuka. Begitu juga Channel Nine.” Dia seterusnya berkata “akan membiarkan Channel Nine menangani perkara itu mengikut cara yang mereka fikir sesuai.”

Pada Isnin, Jones secara terbuka memohon maaf kepada Djokovic dan penyokongnya, dengan menyatakan bahawa komennya dibuat sebagai gurauan.

“Komen itu dibuat dalam program berita pada malam Jumaat, yang saya anggap sebagai gurauan. Saya menganggapnya sebagai jenaka, seperti kebanyakan perkara yang saya lakukan,” kata Jones dalam program Today di Channel Nine.

Jones turut menyatakan bahawa beliau telah memohon maaf kepada pihak Djokovic pada pagi Sabtu “atas sebarang rasa tidak hormat yang Novak rasa saya telah timbulkan.”

Jones mengakui bahawa beliau telah “melampaui batas” apabila menyebut “Novak kick him out,” merujuk kepada kejadian pada 2022, apabila Djokovic ditahan dan kemudian dihantar pulang dari Australia kerana tidak divaksinasi, sejajar dengan peraturan ketat kemasukan COVID-19 negara Australia ketika itu.

“Itu telah menimbulkan kemarahan Novak, yang kini saya faham sepenuhnya,” kata Jones.

“Jadi, ini adalah situasi yang tidak menyenangkan, ia telah menimbulkan keresahan peribadi buat Novak. Jelas sekali ia juga memberi kesan kepada saya, tetapi saya fikir keutamaan sekarang ialah untuk kembali fokus kepada tenis.”

Djokovic dijadualkan menentang pemain nombor tiga dunia Carlos Alcaraz pada Selasa, dalam usahanya untuk merebut gelaran Grand Slam ke-25 yang akan memecahkan rekod.

-- BERNAMA-dpa

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2384683