BEIJING, 20 Jan (Bernama-CMG) -- Gala Tahun Baharu China (TBC) 2025, yang pertama selepas TBC diiktiraf sebagai warisan budaya tidak ketara oleh UNESCO, menyepadukan lebih banyak elemen warisan budaya berkenaan. Ia menyajikan temasya seni budaya yang penuh idea baharu dan kreatif kepada penonton dari dalam dan luar negara.
Perkara itu dimaklumkan Gala TBC 2025 anjuran Kumpulan Media China (CMG) dalam taklimat media yang diadakan di sini pada Ahad.
Pada masa yang sama, rakyat biasa dengan kisah hidup yang mengharukan turut menjadi watak utama dalam Gala TBC tahun ini, menemani penonton menyambut perayaan tradisional itu di depan televisyen.
Dari segi inovasi teknologi, Gala TBC 2025 terus mengetengahkan penyiaran bersepadu skrin besar dan kecil, serta pengaplikasian teknologi 8K. Pada masa sama, teknologi buatan kecerdasan (AI) dan "XR+Digital Twin+VP" juga digunakan dalam penggambaran.
Selain itu, teknologi inovatif membolehkan penciptaan pentas maya tanpa had dan memperkayakan visual skrin vertikal, memberikan pengalaman tontonan Gala TBC dalam sudut 360 darjah dan tiga dimensi (3D).
Sementara itu, Gala TBC 2025 buat julung kalinya memperkenalkan siaran khas untuk golongan cacat penglihatan dan pendengaran, agar mereka dapat menikmati temasya seni budaya kali ini.
--BERNAMA-CMG