KUALA TERENGGANU, 20 Jan (Bernama) -- Lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) Ahmad Nor Al Faizan Jusoh yang dipukul di Pasar Tani Padang Astaka Chukai dekat Kemaman Jumaat lepas, mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mewakilkan Setiausaha Politiknya Datuk Megat Zulkarnain Omardin untuk melawat keluarga lelaki berusia 47 tahun yang menetap di Kemaman itu, di kediaman saudara mereka di Kuala Ibai, dekat sini hari ini.
Pada pertemuan kira-kira 30 minit itu, Ahmad Zahid berkesempatan berbual dengan keluarga mangsa melalui panggilan video selama kira-kira lima minit dengan memberikan nasihat dan kata-kata semangat, selain menyampaikan salamnya kepada Ahmad Nor Al Faizan yang kini sedang dirawat di Wad Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.
Megat Zulkarnain berkata beliau diarahkan oleh Ahmad Zahid untuk segera melawat keluarga lelaki itu bagi menzahirkan rasa simpati atas kejadian yang berlaku.
“Melalui panggilan video tadi, Datuk Seri (Ahmad Zahid) juga meminta ahli keluarga memberikan lebih perhatian kepada mangsa supaya kejadian sama tidak berulang pada masa hadapan.
“Datuk Seri juga menasihati anak lelaki sulung mangsa (anak ketiga daripada lima beradik), iaitu Ahmad Fakhri (19 tahun) supaya mengawal emosi dan tidak mengambil sebarang tindakan dengan ‘tangan sendiri’. Biarlah undang-undang yang menentukan,” katanya.
Dalam pertemuan itu, Megat Zulkarnain turut menyampaikan sumbangan peribadi daripada Ahmad Zahid untuk kegunaan ahli keluarga Ahmad Nor Al Faizan sepanjang berada di Kuala Terengganu.
Dalam pada itu, beliau berkata UMNO akan memberi segala bantuan yang diperlukan termasuk menyediakan barisan peguam dalam kes ini dan membantu dua anak mangsa berumur 10 dan empat tahun yang masih bersekolah.
“Kita akan lihat bagaimana boleh bantu termasuk kebajikan mereka kerana isteri mangsa, Faridah Abdul Karim, 44, hanya bekerja sebagai penjual ikan dan dia tidak dapat menjual sepanjang berada di sini.
“Apabila kita tengok keadaan Ahmad Fakhri, emosinya agak terganggu, jadi saya bincang dengan Datuk Rozi Mamat (Pengerusi UMNO negeri) untuk beri bantuan segera termasuk kaunseling,” katanya sambil menyatakan ahli keluarga mangsa berasa terganggu apabila melihat video kejadian terbabit yang tular.
Video berdurasi 1 minit 52 saat yang tular dalam media sosial itu memaparkan seorang lelaki dipukul dan diheret oleh beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, pada pagi Jumaat.
Siasatan awal polis mendapati kejadian berpunca apabila mangsa yang merupakan OKU mental, menunggang motosikal dan memasuki tapak jualan pasar tani lalu terlanggar sebuah gerai yang menyebabkan makanan jualan di gerai berkenaan terjatuh.
Setakat ini, sebanyak lima lelaki berumur antara 18 hingga 60 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Faridah menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ahmad Zahid dan seluruh rakyat Malaysia atas keprihatinan dan sokongan kepada mereka sekeluarga.
Dia berkata suaminya yang juga peniaga mengalami gangguan mental sejak lima tahun lepas dan merupakan pemegang kad OKU pada 2024.
“Dia tidak pernah bertindak agresif. Dia orang yang baik, tidak pernah tinggal solat dan suka bersedekah walau tiada duit,” katanya sambil mengalirkan air mata.
Faridah berkata dia sekeluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan keadilan bagi pihak suaminya.
-- BERNAMA