EKONOMI

Penyambungan Semula Rundingan MEUFTA Langkah Penting Untuk Maju Kehadapan - Presiden EC

20/01/2025 05:38 PM

Daripada D.Arul Rajoo

BRUSSELS, 20 Jan (Bernama) -- Presiden Suruhanjaya Eropah (EC), Ursula von der Leyen menyifatkan penyambungan semula rundingan bagi Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU (MEUFTA) sebagai satu langkah penting untuk maju kehadapan bersama-sama.

“Berita yang amat baik ini tiba pada masa kritikal ketika ketegangan geopolitik semakin memuncak dan risiko ketidakstabilan semakin meningkat,” katanya.

Walaupun ada sesetengah pihak yang memilih pengasingan dan mendahului kepentingan sendiri, namun Eropah dan Malaysia memilih jalan berbeza:  membina perkongsian dan mencipta peluang baharu untuk rakyat, katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Pengumuman penyambungan semula rundingan perjanjian perdagangan bebas itu dibuat sempena lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar ke Brussels, Belgium, dari 19 hingga 20 Jan, 2025.

“Saya yakin sepenuhnya terhadap pasukan kami untuk memuktamadkan perjanjian yang boleh kita banggakan. Mari kita mulakan kerja,” kata von der Leyen.

Beliau berkata Eropah dan Malaysia berkongsi komitmen terhadap hubungan antarabangsa yang berasaskan peraturan, keterbukaan ekonomi, pembangunan mampan dan kestabilan serantau.

Menurutnya, Eropah terus komited untuk memajukan Indo Pasifik yang bebas dan terbuka, dengan kedua-dua pihak berkongsi kepentingan dan tanggungjawab yang penting.

Sebagai rakan dagang ketiga terbesar kami di ASEAN dan pengerusi terkini pertubuhan itu, Malaysia memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju blok tersebut, katanya.

Pengumuman hari ini mengesahkan komitmen Eropah untuk mengukuhkan hubungan dengan Malaysia dan ASEAN secara keseluruhan.

“Perjanjian perdagangan bebas antara Eropah dan Malaysia akan melonjakkan hubungan perdagangan kita ke tahap seterusnya. Dengan perdagangan antara kita bernilai €45 bilion (RM208.04 bilion) setiap tahun, kita akan dapat memanfaatkan malahan manfaat yang lebih besar untuk perniagaan dan pengguna, terutamanya bagi produk industri.” kata von der Leyen.

Presiden EC itu berkata perdagangan terbuka dan lancar bermakna pilihan dan harga yang lebih baik.

“Ia juga bermakna kurang risiko, kerana menyepadukan dan mempelbagaikan rantaian bekalan mengukuhkan jaminan ekonomi kita. Seperti semua perjanjian perdagangan bebas Eropah, perjanjian ini melangkaui daripada pertukaran ekonomi.

“Kami akan menyasar untuk membina perkongsian berlandaskan komitmen teguh bagi hak pekerja dan iklim serta perlindungan alam sekitar.

“Setelah dimuktamadkan, perjanjian ini akan menyediakan platform dialog mengenai isu-isu yang sangat didukung oleh EU, termasuk menghormati hak asasi manusia.

“Kami menunjukkan bahawa kemampanan dan perdagangan bebas boleh dan perlu bergerak seiring,” katanya.

Pada 2023, EU merupakan rakan dagangan keempat terbesar Malaysia, dengan perdagangan mencecah RM206.79 bilion.

Bagi tempoh Januari hingga November 2024, perdagangan dengan EU meningkat 5.2 peratus kepada RM200 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2023.

Sehingga 2023, pelaburan EU di Malaysia menjana lebih 153,000 pekerjaan melalui 1,323 projek bernilai RM227.9 bilion.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2384744