AM

291 Pengamal Media Terima Manfaat Tabung Kasih@HAWANA - Fahmi

20/01/2025 10:45 PM

KOTA BHARU, 20 Jan (Bernama) -- Seramai 291 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada 2023.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata daripada jumlah itu seramai 46 pengamal media dari Kelantan telah menerima sumbangan berkenaan.

Beliau berkata wartawan memainkan peranan yang sangat penting untuk menceritakan dan melaporkan sebarang kejadian yang berlaku sama ada di dalam dan luar negara.

“Jasa dan bakti mereka sebagai pelapor, golongan yang merakam sejarah tidak harus kita ketepikan terutama ketika berdepan cabaran dalam meneruskan kelangsungan hidup dan kita akan santuni mereka dengan memberi bantuan menerusi Tabung Kasih@HAWANA,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada bekas pemberita sambilan Utusan Malaysia Hapizah Aziz, 71, yang menghidap penyakit kencing manis di kediamannya dekat Kampung Pintu Geng, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Fahmi turut menziarahi dan menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada bekas editor Bernama Zabidi Ishar yang mengalami masalah lemah paru-paru dan jantung bengkak di Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian dekat sini.

Sementara itu, Nur-ul Afida berkata Tabung Kasih@HAWANA diberikan atas inisiatif Kementerian Komunikasi bagi membantu menyelaraskan penyampaian sumbangan. 

“Kita cuba membantu rakan-rakan media sebaik mungkin, yang mana tabung ini mempunyai kriteria ditetapkan iaitu bagi mereka yang diuji dengan penyakit kronik termasuk dialisis buah pinggang dan jantung.

“Kita juga perluas kepada mereka yang mengalami kesukaran kerana kita tahu ramai rakan media hilang pekerjaan, tiada pendapatan tetap tetapi menghadapi kesempitan bagi meneruskan kehidupan,” katanya sambil menambah tabung itu juga membantu pengamal media yang masih bertugas tetapi tidak dibayar gaji.

Menurut Nur-ul Afida Tabung Kasih@HAWANA juga memberi perhatian terhadap pengamal media yang terkesan banjir dengan baru-baru ini sumbangan diberikan bagi kerja membersihkan dan membaik pulih kediaman.

“Kita juga menyambut baik syor Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil supaya membantu persatuan atau kelab media bagi menyalurkan maklumat mengenai masalah dialami. Kita akan segerakan bantuan bukan sahaja dengan menyampaikannya sendiri, tetapi juga menerusi saluran bank akaun masing-masing,” katanya.

Bagi Zabidi, beliau menghargai kehadiran rombongan Kementerian Komunikasi dan Tabung Kasih@HAWANA yang menziarahi serta menyampaikan sumbangan kepadanya dan 46 pengamal media lain di negeri ini yang masih berkhidmat atau sudah bersara.

“Sumbangan ini menunjukkan keprihatinan terhadap warga media yang sudah berpencen dan masih bekerja,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2384832