AM

Kerajaan Kaji Pendekatan Lebih Bersasar Terhadap Pemberian Tol Percuma - Nanta Linggi

21/01/2025 02:40 PM

KLANG, 21 Jan (Bernama) -- Kerajaan sedang mengkaji pendekatan yang lebih bersasar membantu rakyat bagi menggantikan kaedah pemberian tol percuma bersempena dengan musim perayaan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata mesyuarat Kabinet pada tahun lepas telah memutuskan untuk mencari pendekatan yang lebih bersasar bagi rakyat Malaysia dan perkara itu akan diumumkan tidak lama lagi.

“Mengikut keputusan itu tiada (tol percuma) dan 2024 adalah tahun terakhir bagi pemberian tol percuma untuk musim perayaan.

“Kerajaan juga telah menyelaraskan subsidi untuk pendekatan yang lebih bersasar bagi rakyat Malaysia yang mana perinciannya akan kita umumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Seksyen 2 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di sini hari ini.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2385053