KLANG, 21 Jan (Bernama) -- Jajaran Seksyen 2 Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) akan dibuka kepada umum bermula tengah malam ini yang bakal melengkapkan Pelabuhan Klang sebagai hab logistik terbesar di Asia Tenggara.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata jajaran sejauh 7.2 kilometer (km) itu menghubungkan persimpangan bertingkat Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan persimpangan bertingkat Lebuh Raya Shah Alam (SAE), sekali gus memudahkan lagi akses ke Pelabuhan Klang.
"Pembukaan jajaran ini juga dijangka membantu mengurangkan kos operasi sektor logistik, mempermudah penghantaran barangan seterusnya meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Ini secara langsung menarik pelaburan ke kawasan industri dan pelabuhan selain mewujudkan peluang pekerjaan dan menjadi pemangkin ekonomi," katanya selepas merasmikan pembukaan Seksyen 2 WCE di sini hari ini.
Nanta turut mengumumkan tol percuma bagi jajaran itu selama sebulan bermula 12.01 tengah malam ini.
"Tol percuma ini adalah bagi pengguna yang memasuki WCE dari Plaza Tol SAE ke Persimpangan Bertingkat SKVE (WCE) dan sebaliknya di kedua-dua arah," katanya.
Nanta berkata jajaran itu merupakan kesinambungan kepada jajaran Seksyen 1 yang dibuka 31 Ogos lepas, sekali gus memendekkan tempoh masa perjalanan dari Shah Alam ke Banting daripada sejam kepada 25 minit.
Beliau berkata pembukaan jajaran itu menyaksikan hanya tinggal tiga lagi seksyen yang belum dibuka daripada keseluruhan 11 jajaran sejauh 45 km yang dirancang kerajaan.
"Tiga yang belum dibuka adalah di negeri ini dengan Seksyen 3 WCE dijangka dibuka tahun depan," katanya.
-- BERNAMA