JENAYAH & MAHKAMAH

Pekerja Pembersihan Mengaku Salah Pindah, Keluarkan Wang Individu Lain Tanpa Kebenaran

21/01/2025 04:49 PM

KANGAR, 21 Jan (Bernama) -- Seorang pekerja pembersihan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan pindahan dan mengeluarkan wang daripada akaun bank milik individu lain berjumlah RM23,000 tanpa kebenaran.

Nor Faraliana Che Zakiar, 28, dituduh melakukan pindahan wang berjumlah RM20,000 daripada akaun simpanan sebuah bank milik seorang wanita berumur 47 tahun tanpa kuasa sah di sisi undang-undang untuk berbuat demikian di bank itu di Kangar pada 9.24 malam, 18 Dis tahun lepas.

Wanita itu juga dituduh mengeluarkan wang berjumlah RM3,000 daripada akaun milik individu sama di bank lain di sini antara 9.40 malam hingga 9.41 malam pada tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424C (2) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda hingga RM150,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Nurshahida Abdul Rahim menetapkan 18 Feb ini untuk mendengar fakta kes serta menjatuhkan hukuman dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Azira Aziz.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2385122