JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Ambil Keterangan Pemilik Kilang Kimia Meletup Di Klang

21/01/2025 05:35 PM

KLANG, 21 Jan (Bernama) -- Polis telah merakam keterangan pemilik kilang pemprosesan bahan kimia kitar semula yang dilaporkan meletup dalam kejadian di Taman Perindustrian Kapar Indah, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao berkata pihaknya kini sedang mengumpul maklumat lain bagi menentukan jika ada unsur kecuaian, dengan siasatan kini dijalankan di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP). 

“Pemilik telah beri kerjasama yang baik dan kilang ini mempunyai tujuh pekerja masing-masing tiga warga tempatan dan empat warga asing, dan semuanya memiliki permit kerja yang sah. 

"Sekiranya kami temui ada unsur kecuaian atau jenayah dan sebagainya, kami akan teruskan siasatan di bawah Seksyen 285 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi kejadian di sini hari ini. 

Vijaya berkata pihaknya sedang menunggu laporan kimia bagi menentukan jenis bahan kimia yang terlibat sebelum kawasan berkenaan dan sekitarnya dibenarkan untuk dibuka semula.

“Kami jangka dalam masa satu atau dua hari ini, kami akan buka kawasan ini selepas kami sahkan jenis bahan kimia yang terlibat dalam letupan seluas 100 hingga 150 meter ini,” katanya. 

Vijaya berkata jumlah terkini mangsa terlibat dalam kejadian berkenaan adalah 33 orang yang kesemuanya mengalami kecederaan ringan seperti pedih pada bahagian mata dan sesak nafas. 

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata siasatan awal pihaknya mendapati letupan terbabit berpunca daripada bahan kimia yang disimpan di pekarangan kilang berkenaan. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2385158