AM

Notis Perhimpunan Di Ibu Negara Sabtu Ini Tidak Lengkap - Polis

21/01/2025 08:34 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Polis mengesahkan menerima notis pemberitahuan berhubung penganjuran perhimpunan di sebuah kompleks membeli-belah di ibu negara yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata semakan pihaknya mendapati notis tersebut tidak lengkap kerana tiada salinan persetujuan daripada pemilik tempat perhimpunan.

“Pada 17 Jan lepas, respons terhadap notis pemberitahuan perhimpunan tersebut telah diberikan kepada pihak penganjur supaya memenuhi peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan yang menyalahi peruntukan undang-undang dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular di laman sosial poster ‘Himpunan Rakyat Benci Rasuah’ yang mengajak orang ramai berkumpul di sebuah kompleks membeli-belah di ibu negara sebelum berarak ke Dataran Merdeka pada 2.30 petang, Sabtu ini bagi menuntut keadilan dan menolak kezaliman.

-- BERNAMA

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2385275