AM

Dakwa Paksa Peluk Islam, JAKIM Seru Pengamal Media Hormati Sensitiviti Masyarakat Tempatan

22/01/2025 05:58 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Pengamal media khususnya dari luar negara perlu sentiasa menghormati sensitiviti budaya, agama dan Perlembagaan Persekutuan dalam melaporkan sebarang isu yang melibatkan masyarakat tempatan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memandang serius berhubung laporan tidak berasas dipercayai oleh sebuah portal berita luar negara yang mendakwa agensi agama itu terlibat dalam isu memaksa pelajar bukan Islam memeluk Islam semasa program orientasi universiti.

“Untuk makluman, penjelasan lanjut berhubung isu itu telah pun dikeluarkan oleh universiti berkenaan melalui kenyataan rasmi sebelum ini.

“Jabatan ini ingin menegaskan bahawa sebarang laporan yang dibuat haruslah bersandarkan sumber yang sahih dengan pembuktian jelas demi mengelakkan salah faham dan ketegangan dalam masyarakat,” menurut kenyataan itu.

Justeru, JAKIM menasihatkan semua pihak agar lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam melaporkan berita demi mengekalkan keharmonian hidup beragama yang telah dinikmati sekian lama oleh masyarakat Malaysia.

Jabatan itu juga menyeru semua pihak supaya menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan yang menjadi panduan dan asas negara ini dibina.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan bahasa Inggeris sebuah portal dari luar negara bertajuk Malaysian Government, Jakim Allegedly Coercing Students To Convert To Islam pada 16 Jan lepas yang mendakwa Kerajaan Malaysia dan JAKIM menggunakan taktik untuk menekan pelajar bukan Islam supaya bertukar kepada agama Islam semasa program orientasi universiti.

Terdahulu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam kenyataan pada Selasa lepas menafikan dakwaan bahawa universiti itu memaksa mahasiswa bukan Islam menyertai program berkaitan Islam pada Kem Jati Diri dan Kerohanian Siri ke-20 pada 11 Jan lepas.

UiTM memaklumkan program yang berlangsung di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, UiTM Shah Alam itu melibatkan 2,447 pelajar semester pertama termasuk 34 pelajar bukan Islam daripada kursus Kokurikulum Kesatria Negara 1, Kembara 1 dan Pancaragam 1. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2385548