JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Lima Suspek Bantu Siasatan Kes Dua Lelaki Ditemukan Rentung

22/01/2025 08:59 PM

ALOR SETAR, 22 Jan (Bernama) -- Polis menahan lima lelaki termasuk seorang warga asing disyaki terlibat dalam kejadian kebakaran sebuah rumah yang mengakibatkan dua lelaki rentung di Tongkang Yard, dekat sini semalam.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata suspek berusia 19 hingga 53 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar daerah ini hasil risikan, dan juga selepas meneliti satu laporan polis yang dibuat seorang warga emas berumur 60 tahun sehari sebelum kebakaran. 

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini beliau berkata laporan polis oleh warga emas itu mengaitkan seorang daripada suspek dengan jenayah curi telefon, dan polis percaya kebakaran tersebut adalah akibat perbuatan khianat yang berpunca daripada perasaan dendam.

Beliau berkata semua suspek direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, dan ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah.

Fisol berkata polis masih menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan identiti mangsa dan laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian.

Semalam media melaporkan dua lelaki dipercayai seorang warga emas dan anak angkatnya berusia 20-an ditemukan rentung dalam kebakaran yang dipercayai berlaku pada 6.51 pagi. 

Sementara itu Fisol berkata polis menahan seorang penggangur berusia 23 tahun pada 12.30 tengah malam Isnin lepas, di Kupang dekat Baling kerana disyaki terlibat dalam kebakaran membabitkan sembilan rumah di daerah berkenaan.

"Suspek dipercayai bertindak demikian kerana dendam akibat sering dibuli," katanya.

Beliau berkata suspek direman hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat. 

Pada 12 Jan lepas, Ketua Polis Daerah Baling Supt Azmi Mokhtar berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kebakaran sembilan rumah dalam tempoh 10 hari di daerah itu membabitkan unsur khianat. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2385671