AM

PPS Di Saratok Masih Dibuka, Tempatkan 91 Mangsa Banjir

23/01/2025 09:10 AM

KUCHING, 23 Jan (Bernama) -- Keadaan banjir di daerah Saratok, yang kini memasuki hari kelima menyaksikan satu pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Rumah Dayak masih beroperasi dan menempatkan seramai 91 mangsa banjir.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan setakat 8 pagi tadi, 21 keluarga dari Rumah Tembawai Kapok yang terjejas akibat banjir sejak Ahad masih berlindung di PPS berkenaan.

JPBN Sarawak turut memaklumkan sebanyak 11 lokasi di seluruh negeri yang berisiko mengalami banjir turut dipantau dari semasa ke semasa oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Setakat ini, paras air di bahagian Kuching menunjukkan penurunan manakala paras air di  daerah Kanowit, Sibu, Matu, Sebauh dan Limbang menunjukkan peningkatan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2385757