AM

KUSKOP Sedia Bantuan Berterusan Bantu PKS Laksana Gaji Minimum Baharu

23/01/2025 12:14 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyediakan bantuan berterusan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam mematuhi pelaksanaan gaji minimum baharu menjelang pelaksanaannya bulan depan.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri R. Ramanan berkata antara inisiatif itu termasuklah latihan pengurusan kewangan untuk membolehkan PKS menguruskan kos secara efektif dan melakukan penjimatan yang akhirnya akan membantu pihak pengurusan mencapai matlamat syarikat.

“Kenaikan gaji minimum adalah satu langkah untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan memberi peluang kepada pekerja untuk mendapat gaji yang boleh menambah baik kehidupan harian.

“Ketersediaan dalam kalangan PKS adalah sederhana buat masa ini tetapi KUSKOP menyediakan banyak bantuan untuk memudahkan proses ini,” katanya kepada pemberita semasa ditemui pada Persidangan Daya Tahan dan Pertumbuhan PKS Malaysia 2025 hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kadar gaji minimum dinaikkan daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Feb 2025.

Kerajaan turut membenarkan gaji minimum membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja ditangguhkan bagi tempoh enam bulan sehingga 1 Ogos 2025.

Menurut Ramanan, angka PKS hampir mencecah 1.1 juta, memberi peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Kerajaan memberikan penekanan yang tinggi terhadap PKS dan mereka perlu mengambil peranan yang lebih besar.

“Hampir RM40 bilion telah diumumkan dalam Belanjawan 2025 untuk menyokong pembangunan dan perkembangan PKS serta membantu mereka meneroka pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau turut berkongsi peluang untuk PKS meneroka pasaran Uzbekistan, sebuah negara majoriti Islam yang memiliki kira-kira 400,000 PKS, berpotensi untuk dijadikan rakan kerjasama.

“Jika kita dapat memasarkan produk halal kita seperti kosmetik, makanan dan pelancongan, kita berpotensi untuk memasuki pasaran tersebut. Ia merupakan peluang yang sangat besar,” katanya.

Bagi meraih peluang yang lebih besar di pasaran antarabangsa, Ramanan turut menggesa PKS untuk memenuhi standard piawaian global yang ketat mengenai kemampanan, halangan perdagangan digital dan tadbir urus korporat untuk kekal berdaya saing di peringkat global.

“Keperluan untuk mendepani kerumitan ini telah menjadi aspek penting dalam mengekalkan daya tahan perniagaan dan mencatat pertumbuhan dalam dunia hari ini.

“Keperluan untuk perniagaan menyesuaikan dengan situasi semasa turut didorong oleh peningkatan pengaruh faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), yang menjadi elemen penting kepada operasi perniagaan di seluruh dunia,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2385789