EKONOMI

Saham CapitaLand Malaysia Trust Naik Selepas Catat Keuntungan Lebih Tinggi Bagi Tahun Kewangan 2024

23/01/2025 11:26 AM

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Harga saham CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) di Bursa Malaysia meningkat sedikit pada awal dagangan selepas mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM187.15 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2024 berbanding RM163.66 juta setahun lalu.

Pada 10.20 pagi, kaunter berkenaan meningkat setengah sen atau 0.74 peratus kepada 68 sen dengan 601,800 saham bertukar tangan.

Dalam pemfailan Bursa Malaysia semalam, syarikat itu berkata hasil juga meningkat kepada RM454.76 pada tahun kewangan 2024 juta daripada RM395.39 juta.

Peningkatan itu kebanyakannya disebabkan sumbangan untuk tempoh setahun daripada Queensbay Mall (QBM) selepas ia menyelesaikan pemerolehannya menjelang akhir suku pertama tahun kewangan 2023.

Kenanga Investment Bank Bhd berkata ia kekal positif terhadap strategi kumpulan itu dalam mempelbagaikan ke dalam segmen industri yang akan kekal sebagai penyumbang kecil dalam jangka sederhana.

“Berdasarkan perkembangan yang memberangsangkan di Pulau Pinang, kami menjangka trajektori positif akan berterusan ke tahun kewangan 2025 dan 2026.

"Kumpulan itu mengesahkan semula hala tujunya untuk memperoleh dan mengembangkan segmen perindustriannya dengan tumpuan kepada aset logistik sebagai sebahagian daripada strateginya untuk mempelbagaikan aliran pendapatan portfolionya," katanya.

Kenanga Investment Bank berkata pusat pengedaran Glenmarie telah mendapat penyewa yang akan menyumbang pendapatan bersih hartanah sehingga RM3 juta setiap tahun mulai tahun kewangan 2025 manakala Hab Logistik Valdornya di Pulau Pinang menyaksikan pendapatan sewa yang tinggi semula pada suku sebelumnya.

“Kami juga berpuas hati dengan aset perindustrian akretif hasil diperoleh baru-baru ini oleh kumpulan itu seperti tanah Elmina Business Park. Pendapatan sewa akan bermula dari tahun kewangan 2026,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Ia berkata prestasi CLMT akan terus disokong oleh aset runcitnya di Pulau Pinang, ia akan mendapat manfaat daripada sentimen pengguna yang positif berikutan perkembangan kukuh dalam sektor perindustrian.

Ia mengekalkan saranan ‘outperform’ untuk CLMT, dengan harga sasaran 75 sen daripada 67.5 sen sebelumnya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2385782