Oleh M. Saraswathi
KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri dan Pengerusi ASEAN Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan impak yang besar di Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland, dengan menyertai perbincangan daripada perbualan santai mengenai kelab bola sepak kegemaran beliau hinggalah kepada hubungan antarabangsa yang dinamik dan rumit serta cabaran dan kejayaan integrasi serantau.
Keupayaan Perdana Menteri untuk mengimbangi perbualan dalam perbincangan beliau mempamerkan kedudukan unik Malaysia dalam diplomasi global, terutamanya apabila berurusan dengan negara-negara yang mempunyai ideologi politik dan dasar ekonomi yang berbeza.
Perbincangan pertama beliau di WEF adalah dengan Pengerusi Bersama Manchester United Football Club (MUFC) Avram Glazer mengenai matlamat Malaysia untuk sukan pada masa depan.
Anwar mula-mula menjawab bahawa sebagai peminat kelab berusia 147 tahun itu, beliau masih berharap kepada kebangkitan semula Manchester United dan enggan menukar pilihannya walaupun kelab itu berada di bahagian tengah carta liga dan kesemua 14 cucu beliau adalah penyokong Arsenal.
Menjawab soalan daripada Glazer pada sesi “Country Strategy Dialogue” di luar Sidang Kemuncak Tahunan WEF 2025, beliau menegaskan kepentingan sukan di negara yang mempunyai pelbagai agama seperti Malaysia dan kepentingan untuk mempromosikannya bukan sahaja sebagai industri tetapi juga menggunakan sukan untuk memupuk perpaduan.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan turut menjawab soalan mengenai penstrukturan semula Malaysia Airlines dan langkah-langkah menambah baik di Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), termasuk menaik taraf aerotrain.
“Saya tidak sabar untuk segalanya berjalan lancar (di lapangan terbang) dan (ia) menjadi lebih cekap. Tiada alasan untuk lapangan terbang perlu berfungsi seperti sebelumnya walaupun ia baik berbanding lapangan terbang lain yang kurang berdaya saing. Bagaimanapun, masih ada ruang untuk penambahbaikan,” kata beliau.
Topik lain yang turut disentuh oleh Anwar termasuklah perbincangan mengenai penjagaan kesihatan, Kecerdasan Buatan (AI), Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), menaik taraf sistem perundangan negara, perjanjian perdagangan bebas (FTA) serta keperluan untuk perjanjian ini merangkumi pendigitalan dan pandangan Malaysia mengenai tenaga nuklear.
Pada hari terakhir lawatan kerja selama tiga hari ke Davos untuk menghadiri sidang kemuncak, Anwar turut membincangkan isu Myanmar dan bagaimana kegagalan tadbir urus di negara tersebut telah menjejaskan keamanan dan keselamatan di ASEAN.
Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia optimis dengan penuh berhati-hati mengenai kemajuan di Myanmar dan akan menyelaraskan usaha ke arah keamanan dan keselamatan bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kata beliau pada sesi Plenari ASEAN bertajuk, “Even Stronger Together”.
Keupayaan Perdana Menteri untuk membincangkan pelbagai topik di pelbagai platform dengan konsisten turut mempamerkan beliau sebagai pemidato yang hebat.
Pada setiap kesempatan, beliau menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dalam kalangan kuasa besar, sekali gus mengukuhkan peranan ASEAN dalam menangani cabaran ekonomi dan geopolitik yang mendesak.
Dalam kenyataan beliau mengenai isu yang dihadapi oleh ASEAN dan rantau ini, terutamanya mengenai ketegangan di Laut China Selatan, Perdana Menteri menegaskan sebarang penyelesaian perlu melalui usaha kerjasama dan bukan sebaliknya, tanpa mengambil kira pandangan dunia Barat mengenainya.
“Kami mempunyai isu yang belum selesai dengan Thailand, Indonesia, Singapura, Brunei dan Filipina. (Tetapi) kenapa masalah hanya dilihat dengan China?” tanya beliau.
“Dan mereka berkata, ‘Oh, adakah anda bersikap defensif?’ Tidak, itu bukan isunya. Saya hanya menyatakan fakta. Adakah terdapat masalah? Ya, ada (masalah). Tetapi isu ini melibatkan seluruh rantau. Adakah kita akan berperang kerana ini? Tidak,” kata beliau.
Pengerusi ASEAN itu menegaskan bahawa perkara tersebut tidak seharusnya ditangani secara defensif tetapi dengan komitmen yang kukuh untuk berdialog dan Malaysia telah mengambil langkah proaktif ke arah pendekatan tersebut.
Beliau berkata Malaysia telah mengorak langkah besar dalam memperkukuh kedudukannya sebagai rakan kongsi dipercayai China selain mengiktiraf Amerika Syarikat sebagai rakan yang sama penting memandangkan secara keseluruhan, ia kekal sebagai pelabur terbesar di Malaysia.
Anwar turut menyatakan keyakinan mengenai keupayaan Malaysia untuk terus menarik pelaburan dan mengambil setiap peluang untuk mempromosikan negara kepada pemimpin kerajaan dan perniagaan serta pegawai masyarakat sivil yang menghadiri WEF di bandar peranginan Pergunungan Alps.
-- BERNAMA