IPOH, 24 Jan (Bernama) -- Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) di Perak merekodkan nilai jualan sebanyak RM64 juta sepanjang tahun lepas.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Datuk Kamalludin Ismail berkata sebanyak 945 PJRM dilaksanakan dengan merekodkan 1.6 juta pengunjung sepanjang tempoh tersebut.
"Pada tahun ini, KPDN Perak bercadang untuk melaksanakan 1,416 PJRM di seluruh negeri dan menyasarkan 2 juta pengunjung mendapat manfaat daripada program ini,.
"Menerusi PJRM ini banyak penjimatan dapat dicapai oleh pembeli. Sebagai contoh, sebuah keluarga berbelanja RM200 bagi tempoh seminggu namun menerusi pembelian di PJRM mereka boleh berjimat antara RM30 hingga RM40 seminggu," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan PJRM Back to School peringkat negeri di sini hari ini.
Dalam pada itu, Kamalludin berkata sebanyak 37 PJRM Back to School akan dilaksanakan sepanjang tahun ini.
Beliau berharap masyarakat, terutamanya golongan berpendapatan rendah, dapat memanfaatkan peluang ini untuk berbelanja dengan lebih jimat.
-- BERNAMA