AM

Pulau Pinang Ambil Langkah Tegas Tangani Tunggakan PPR, PAKR Cecah RM17.7 Juta

24/01/2025 05:09 PM

GEORGE TOWN, 24 Jan (Bernama) -- Kerajaan negeri mengambil langkah tegas menangani masalah tunggakan sewa dan penyelenggaraan rumah bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Skim Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Pulau Pinang yang mencecah RM17.7 juta, melibatkan 7,854 unit.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S. Sundarajoo berkata antara langkah tegas berkenaan termasuk mengenakan notis pemilikan semula unit jika penyewa gagal menjelaskan tunggakan sewa melebihi tiga bulan berturut-turut.

Beliau berkata jika terdapat penyewa yang gagal membayar hingga setahun pula, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang, manakala bagi kes tunggakan yang terlalu lama khususnya sejak era 1970-an hingga 1990-an, kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk menghapus kira hutang lapuk melibatkan penyewa yang telah meninggal dunia atau gagal dikesan.

“Namun bagi tunggakan terkini, kita akan berusaha kutip semula dan pada masa sama, sistem pemantauan yang lebih ketat akan dilaksanakan untuk memastikan tiada lagi tunggakan besar seperti ini pada masa depan.

“Kita juga tidak mahu lagi melihat ada rumah kosong atau penyewa enggan bayar sedangkan ramai lagi yang beratur menunggu peluang. Maka, kami akan terus menguatkuasakan peraturan dengan tegas untuk memastikan keadilan kepada semua,” katanya pada sidang media mengenai penambahbaikan garis panduan Rumah Mampu Milik (RMM) dan penjenamaan semula nama serta logo RMM kepada Rumah MutiaraKu (RMKu) di Komtar hari ini.

Beliau berkata rumah PPR pada asalnya diwujudkan sebagai langkah membantu golongan berpendapatan rendah, namun terdapat penyewa yang masih menduduki rumah itu walaupun pendapatan mereka kini sudah melebihi had kelayakan RM1,500.

Sundarajoo berkata tunggakan sewa dan penyelenggaraan PPR dan PAKR bukan sahaja merugikan golongan yang benar-benar layak menikmati kemudahan perumahan itu, tetapi turut menjejaskan aliran kewangan negeri.

Masalah itu berpunca daripada pelbagai isu seperti penyewa yang tidak membayar sewa hingga bertahun-tahun, kehilangan kelayakan berdasarkan pendapatan dan kegagalan membayar yuran  penyelenggaraan yang berterusan.

Beliau juga memaklumkan sewa rumah PPR dan rumah kos rendah di Pulau Pinang juga kekal antara yang terendah iaitu RM70 hingga RM200 sebulan, dan terdapat juga skim sewa beli yang memberi peluang kepada penyewa memiliki rumah secara ansuran dalam tempoh 15 hingga 18 tahun.

Mengenai garis panduan RMM Pulau Pinang, beliau berkata ia adalah panduan bagi memudahkan pembangunan perumahan yang bertujuan untuk memfokuskan hala tuju dan merangka satu rujukan bagi pembangunan perumahan kepada kerajaan negeri, pihak berkuasa negeri (PBN), pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi atau jabatan berkaitan dan pemaju swasta di Pulau Pinang.

Sundarajoo memberitahu penyediaan garis panduan itu adalah usahasama antara Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) dengan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) dan PBT iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Beliau berkata tujuan penambahbaikan itu dibuat bagi memastikan ia diguna pakai dengan lebih komprehensif, sistematik dan sesuai untuk diaplikasikan dengan keadaan semasa, khususnya berkenaan pematuhan penyediaan RMM jenis A dan B.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2386350