SHAH ALAM, 25 Jan (Bernama) -- Polis Selangor mengesahkan menerima satu laporan berhubung tiga lelaki disyaki warga asing mengalami kecederaan dipercayai kesan tembakan pada anggota badan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang semalam.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata laporan terbabit dibuat seorang pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan hospital berkenaan ketika sedang bertugas yang memaklumkan menerima kesemua mangsa pada 7.30 pagi.
“Kesemua pesakit dalam keadaan sedar dan mengalami kesan kecederaan kesan tembakan di anggota badan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Hussein berkata siasatan lanjut pihaknya mendapati ia merupakan rentetan kes sebuah bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor dilanggar empat kali oleh sebuah bot dipercayai milik suspek (mereka yang cedera) ketika menjalankan tugas rondaan perairan di Tanjung Rhu pada 3 pagi hari yang sama.
Hussein berkata semasa kejadian, dua suspek dipercayai warga asing yang berada di dalam bot itu cuba menyerang pihak APMM menggunakan parang.
"Bagi mempertahankan diri dan keselamatan, anggota APMM telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah bot terbabit. Bot itu kemudian berjaya dilarikan ekoran keadaan yang gelap. Lebih kurang 9 pagi, pihak APMM menerima maklumat orang awam, terdapat sebuah bot terdampar di pesisir Pantai Banting, Kuala Langat,” katanya.
Hussein berkata APMM telah pergi ke lokasi lalu menjumpai dua lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri dan pemeriksaan mendapati, seorang telah meninggal dunia manakala seorang lagi masih hidup serta dalam keadaan kritikal lalu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk mendapatkan rawatan.
Mengulas lanjut, Hussein berkata kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam semasa menjalankan tugas.
Beliau berkata kes turut disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 bagi kesalahan melepaskan tembakan.
Terdahulu, Hussein mengesahkan seorang maut dan empat cedera dalam kejadian tembak di pantai Morib, Kuala Langat dekat sini awal pagi semalam dan mereka yang cedera dirawat di hospital di Klang dan Serdang.
Dalam pada itu, Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh dalam kenyataan berasingan memaklumkan pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai sebuah bot fiber yang tersadai di beting lumpur, kira-kira 0.4 batu nautika barat daya Pulau Carey, pagi semalam.
“Pemeriksaan lanjut menemukan dua lelaki disyaki warga Indonesia di dalam bot terbabit. Pasukan ambulans dari HTAR Klang tiba di jeti dan memberikan rawatan awal. Seorang disahkan meninggal dunia di lokasi manakala seorang lagi yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
-- BERNAMA