JENAYAH & MAHKAMAH

Kastam Tembak Tayar Lori, Gagalkan Cubaan Seludup Rokok Bernilai Lebih RM1 Juta

26/01/2025 03:33 PM

KOTA BHARU, 26 Jan (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan terpaksa melepaskan tiga das tembakan ke arah sebuah lori satu tan bagi menggagalkan cubaan menyeludup rokok bernilai lebih RM1 juta di Kampung Mat Kancil, Pasir Mas pada Khamis lepas.

Pengarah JKDM Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata tindakan itu dilakukan Pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan Kastam Kota Bharu pada pukul 9.15 pagi, selepas pemandu lori terbabit cuba meloloskan diri.

Beliau berkata semasa melakukan intipan dan risikan menggunakan motosikal, anggota kastam telah memperkenalkan diri kepada pemandu lori berusia lingkungan 20-an itu, namun suspek bertindak agresif dengan cuba merempuh anggota kastam untuk melarikan diri.

“Lori itu dikejar sejauh dua kilometer menuju Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang sebelum anggota bertugas terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar belakang kanan lori untuk menghentikannya,” katanya dalam sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Kelantan di sini hari ini.

Wan Jamal berkata lori berkenaan akhirnya berhenti di tepi jalan selepas terhalang oleh kenderaan awam dari arah bertentangan, namun suspek sempat melarikan diri ke kawasan semak dan gagal dikesan meskipun usaha mencarinya telah dilakukan.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori yang ditinggalkan, anggota kami menemukan 124 peti mengandungi 1.24 juta batang rokok putih. Anggaran nilai rokok itu adalah RM186,000, dengan jumlah cukai RM837,000. Nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai dianggarkan RM1.053 juta,” katanya.

Beliau berkata rokok itu dipercayai diseludup masuk dari negara jiran melalui pangkalan haram di Tumpat untuk pasaran tempatan.

Wan Jamal berkata kes disiasat di bawah Seksyen 136 Akta Kastam 1967, manakala rokok adalah barangan larangan import yang tertakluk di bawah Butiran 1, Bahagian II, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” tambahnya.

“Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh menghubungi talian bebas tol Kastam di 1-800-88-885 atau melaporkan kepada pejabat Kastam berdekatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2386800