IPOH, 26 Jan (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan (KPKT) memperuntukkan RM15 juta untuk kerja-kerja menaik taraf Pasar Besar Ipoh (Ipoh Central Market) bertujuan menjadikan pasar itu berkonsep moden serta tarikan pelancong.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata peruntukan berkenaan adalah di bawah projek naik taraf pasar warisan berusia lebih 50 tahun yang antara keutamaan kementerian.
"Bagi projek ini kita mahu mengembalikan nostalgia kegemilangan Pasar Besar Ipoh, kita akan naik taraf dan tambah kemudahan di sekitarnya untuk tarikan pelancongan, satu lagi Central Market," katanya dalam sidang media selepas melawat Pasar Canning di sini hari ini.
Mengenai proses naik taraf itu, beliau berkata Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang mengadakan pertandingan reka bentuk secara terbuka bagi yang berminat.
Proses naik taraf dijangka siap penghujung 2026.
"Kita amat mengalu-alukan permohonan seluruh negara mana-mana pasar warisan terutama berusia lebih 50 tahun untuk kita nilai bagi proses naik taraf dan di Perak, selepas ini kita bercadang menaik taraf Pasar Buntong," katanya.
Terdahulu, Nga melawat Pasar Pasir Pinji iaitu satu lagi pasar warisan di Perak yang sedang dinaik taraf dengan peruntukan RM16 juta meliputi kerja perobohan struktur asal, 214 unit ruang niaga, 84 petak parkir kereta termasuk tempat letak kereta mesra orang kurang upaya (OKU), 39 petak parkir motosikal dan tiga petak untuk lori.
Pasar berusia lebih 50 tahun ini diberi nafas dan wajah baharu dengan reka bentuk moden sekali gus meningkatkan kualiti kemudahan pasar terbabit yang dijangka siap pada Nov 2026.
Pelaksanaan projek pasar ini turut mengambil kira elemen hijau seperti Sistem Penyimpanan Air Hujan (SPAH), Penarafan Hijau (PH) dan Sistem Penjimatan Tenaga.
Bagi naik taraf Pasar Canning pula, ia telah pun selesai dengan peruntukan berjumlah RM500,000 yang disalurkan KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT).
Kerja-kerja naik taraf yang terlibat meliputi penggantian penutup gendela gulung (roller shutter) dan gril, mengecat, kerja-kerja elektrik, penggantian pagar lama dengan jenis anti-climb serta menambah baik landskap.
"Projek naik taraf Pasar Canning dilihat dapat meningkatkan tahap keselesaan para peniaga dan pengunjung malah turut membantu menjana pendapatan rakyat," katanya.
-- BERNAMA