AM

Econsave, MyCARE Kerjasama Laksana Program Pendidikan, Pemulihan Psikologi Pelajar Gaza

26/01/2025 02:28 PM

JOHOR BAHRU, 26 Jan (Bernama) -- Econsave Cash & Carry Sdn Bhd (Econsave)  dengan kerjasama Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) mengambil inisiatif melaksanakan program pendidikan dan pemulihan psikologi yang memanfaatkan lebih 300 pelajar di Gaza, Palestin.

Pengurus Besar Econsave Mas Imran Adam berkata projek itu dijalankan di sebuah bangunan yang dijadikan sebagai sekolah sementara yang terletak berdekatan kem pelarian Jabalia, utara Gaza.

Beliau berkata projek melibatkan kos sebanyak RM65,000 yang bermula September lepas itu disalurkan menerusi tabung kecemasan Gaza yang dilancarkan pihaknya sejak Oktober 2023 dengan jumlah keseluruhan kutipan dana sebanyak RM2 juta. 

"Projek ini merangkumi pendidikan sekolah dan program psikologi, antaranya bagi mengelakkan pelajar di Gaza ketinggalan dalam pelajaran akibat perang yang berpanjangan.

“Kita juga mahu menguatkan semangat mereka kembali susulan keadaan yang sangat darurat dengan kematian keluarga dan saudara mara," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan sumbangan sempena Tahun Baharu Cina di Econsave Permas Jaya di sini hari ini.

Mas Imran berkata projek itu diharapkan dapat memberikan semangat baharu buat rakyat di Gaza, khususnya pelajar susulan peperangan yang berlaku telah memusnahkan pelbagai infrastruktur termasuk institusi pendidikan.

Sementara itu, Mas Imran berkata Econsave dan MyCARE turut membekalkan air bersih kepada rakyat Gaza menerusi projek tenaga solar pada Julai lepas dengan kos sebanyak RM50,000.

Beliau berkata projek berkenaan mampu membekalkan kira-kira 8,000 liter air bersih setiap hari dan memberi manfaat kepada lebih 4,000 penduduk.

"Agihan bekalan air merangkumi kem dan sekolah yang menjadi kediaman sementara dan diharapkan bantuan ini dapat membantu penduduk Gaza untuk meneruskan kehidupan," katanya. 

Terdahulu, seramai 30 keluarga kurang berkemampuan menerima sumbangan baucar RM200 sempena  Tahun Baharu Cina.

"Pemilihan barang keperluan boleh dipilih sendiri penerima di Econsave menggunakan baucar berkenaan. 

"Sempena Tahun Baharu Cina ini kita turut menyasarkan 300 keluarga (dibantu) dan program akan diperluas," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2386775