GAYA HIDUP

Hasilkan Replika Makanan Mampu Jana Pendapatan Empat Angka Sebulan

17/01/2025 10:26 AM

Oleh Fadzlina Abu Bakar Sidek

TELUK INTAN, 17 Jan (Bernama) -- Bermodalkan tepung jagung, minyak masak, gam dan cuka, Rifasyariah Abdul Rashid berjaya menjana pendapatan hingga empat angka sebulan dengan menghasilkan replika makanan. 

Menjadikan kraf itu sebagai sumber pendapatan utamanya sejak tiga tahun lalu, wanita ini hanya mengambil masa empat bulan untuk memahiri pembuatan replika makanan daripada rakan-rakan, sebelum ditambah baik dengan belajar sendiri.

Bercakap kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Chenderong Balai, di sini baru-baru ini, Rifasyariah, 51, berkata setiap bulan beliau mampu meraih RM5,000 dan meningkat sekali ganda semasa musim perayaan hasil kegiatan itu.

Mahir dalam menghasilkan replika antaranya nasi ayam, rendang, biskut raya, kuih-muih, sayur-sayuran, buah-buahan, cendol dan buah kelapa. suri rumah ini menjelaskan proses membuat replika itu tidak begitu sukar.

“Akan tetapi, ada beberapa replika yang agak renyah untuk dibuat seperti nasi, kerana setiap butir nasi perlu dibuat satu-satu dan mengambil masa selama seminggu untuk menyiapkan sepinggan nasi,” katanya, menambah replika terbabit dijual pada harga RM20 hingga RM1,000, bergantung pada saiz dan bentuk.

pic-2

Berkongsi cara membuat kraf itu, beliau berkata kesemua bahan termasuk cuka diadun dan diuli sehingga menjadi doh lembut seakan doh roti, sebelum disimpan di dalam bekas kedap udara agar dapat bertahan hingga enam bulan.

“Kita letak cuka bagi mengelakkan adunan daripada berkulat. Untuk buat replika, kita cuma bentukkan doh mengikut apa yang hendak kita hasilkan. Selepas itu diwarnakan menggunakan cat akrilik.

"Kebiasaannya pelanggan menempah menerusi aplikasi WhatsApp dan mereka sendiri yang perincikan replika seperti saiz, warna dan sebagainya,” kata Rifasyariah, menambah beliau pernah menghasilkan piramid makanan bersaiz besar yang ditempah oleh Hospital Kampar.

Katanya, kini beliau mempunyai ramai pelanggan tetap, antaranya Kementerian Kesihatan, sekolah, restoran dan juga orang perseorangan yang menempah pelbagai jenis replika makanan untuk dijadikan bahan pameran dan promosi sesuatu produk.

Menerima tempahan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, wanita ini mengakui turut berdepan pelbagai kerenah pelanggan termasuk tidak berpuas hati dengan replika yang dihasilkan dan mahu kraf itu dibuat semula. 

pic-3

Katanya, replika makanan yang dihasilkan beliau dapat bertahan dalam tempoh lama asalkan kraf itu tidak terjatuh selain hanya perlu dilap dengan tisu basah apabila berhabuk.

"Saya enjoy dengan apa yang saya lakukan ini, kerana selain menjana pendapatan kegiatan ini juga mengisi masa saya yang hanya tinggal berdua dengan suami,” katanya yang mahu meneruskan kegiatan itu selagi terdaya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2383628