SEPANG, 26 Jan (Bernama) -- Jaguh Muay Thai negara Muhamad Johan Ghazali Zulfikar bertekad membalas dendam ke atas Johan Estupinan dalam pertarungan ulangan kelak selepas tewas dengan keputusan pengadil kepada bintang Colombia itu Jumaat lepas.
Muhamad Johan yang lebih mesra dikenali sebagai Jojo berharap dapat tampil lebih garang pada perlawanan seterusnya itu yang berkemungkinan dijadual tahun ini.
“Memang akan ada lawan (Estupinan) balik dan matlamat Jojo ketika ini untuk menang perlawanan berkenaan.
“Setakat ini Jojo belum tahu bila pertarungan ulangan akan berlangsung, mungkin aksi berikutnya atau hujung tahun ini. Namun Jojo harap ia berlangsung hujung tahun ini,” katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini dari Bangkok hari ini.
Terdahulu hasrat Jojo untuk mencalarkan rekod tanpa kalah Estupinan tidak kesampaian apabila tewas dalam pertarungan ONE 170 di Impact Arena, Bangkok dua hari lepas.
Atlet berusia 18 tahun itu bagaimanapun berjaya memberikan tentangan sengit kepada lawannya dalam pertarungan tiga pusingan kategori flyweight.
Dalam pada itu itu, Jojo berkata beliau gembira kerana berjaya mempamerkan peningkatan dalam pertarungan itu terutamanya aspek tendangan dan pergerakan, namun mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki sekiranya mahu mencapai kelas dunia.
“Dalam pertarungan seterusnya, Jojo akan lebih fokus semua aspek terutama tangan, kaki dan siku sebab sudah tentu lawan yang Jojo akan jumpa selepas ini bukan biasa-biasa. Jadi kena bersiap sedia sepenuhnya," katanya.
--BERNAMA