KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan sekumpulan pesawah yang berhasrat berhimpun di Putrajaya pagi esok supaya memilih tarikh dan waktu yang lain berikutan ia bertindih dengan lawatan rasmi Presiden Indonesia Prabowo Subianto ke Malaysia, khususnya Putrajaya.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pemilihan tarikh dan waktu lain itu bagi penyelarasan tugasan serta aturan keselamatan yang lebih sempurna dalam menjamin keselamatan Presiden Prabowo sentiasa berada di tahap tertinggi.
“Pihak polis memberikan komitmen untuk membantu memudah cara perhimpunan pesawah di tarikh dan waktu yang lain selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Nasihat ini untuk mengelakkan segala kesulitan kepada para peserta dan pandangan negatif terhadap PDRM sekiranya mereka terpaksa melalui prosedur keselamatan yang ketat kerana lawatan Presiden Prabowo ini mendapat status tetamu negara dengan kawalan keselamatan dipertingkatkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Razarudin berkata aturan keselamatan ini selari dengan tanggungjawab PDRM mengikut Seksyen 3(3) Akta Polis 1967 bagi memelihara undang-undang dan ketenteraman serta mengekalkan keamanan dan keselamatan negara.
Beliau berkata menurut maklumat yang diterima, 1,000 pesawah dijangka berhimpun di hadapan Perdana Putra pada 10 pagi esok dan beliau turut menyeru orang ramai tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi mengenai perkara berkenaan, demi menjaga keharmonian dan ketenteraman awam.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini dilaporkan berkata kementerian itu terbuka dan tidak menghalang mana-mana kumpulan pesawah untuk menyerahkan memorandum berhubung tuntutan menaikkan harga lantai belian padi.
Mohamad berkata demikan ketika diminta mengulas dakwaan mengenai rancangan sekumpulan pesawah untuk berhimpun di Putrajaya esok.
-- BERNAMA